Sokong tegas tangani pencerobohan udara oleh China

DEWAN Pemuda PAS Malaysia mengikuti rapat dan menyokong penuh ketegasan Kerajaan Malaysia dalam isu pencerobohan 16 pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) terhadap ruang udara Zon Maritim Malaysia (ZMM), serta menghampiri ruang udara nasional di kawasan Laut China Selatan.

Pencerobohan ini adalah suatu provokasi yang boleh mengancam keselamatan negara, serta tidak menghormati kedaulatan Malaysia dan kepentingannya di Zon Maritim tersebut. Pemuda PAS mengecam tindakan China atas tindakan pencerobohan ruang udara dan kedaulatan negara.

Advertisement

Dalam hal ini, Pemuda PAS menyokong penuh tindakan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam memintas pesawat-pesawat tersebut dengan berani. Sekalipun China sebuah negara besar dan mempunyai kekuatan tentera yang jauh lebih maju, para perajurit kita ternyata tidak gentar mempertahankan ruang udara negara dari diancam oleh mana-mana kuasa asing.

Ketegasan Kementerian Luar dalam menghantar nota bantahan diplomatik serta memanggil Duta Besar China ke Malaysia untuk memberi penjelasan terhadap pencerobohan ini, adalah suatu tindakan yang berani dan wajar dipuji. Sekalipun Malaysia dikenali sebagai sebuah negara yang berdiplomasi, tiada sebarang kompromi dalam tindakan pencerobohan kedaulatan yang tidak menghormati kedaulatan, serta berpotensi mengancam keselamatan negara.

Pemuda PAS menyeru seluruh rakyat Malaysia agar menzahirkan sokongan penuh terhadap usaha Kerajaan serta Tentera Udara Diraja Malaysia dalam mempertahankan kedaulatan negara. Jika rakyat bersatu padu mempertahankan negara, pastinya mana-mana negara asing akan berfikir dua kali sebelum melakukan sebarang provokasi yang menggugat keselamatan tanah air ini.

YB SENATOR IR. TS. HJ. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 5/6/2021