Projek tambakan laut ancam nyawa nelayan

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

BALIK PULAU: Sering kali kita membaca pendapatan nelayan di sekitar pulau akan terjejas akibat daripada projek projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR).

Namun, pendedahan oleh seorang nelayan Sungai Batu, Zakaria Ismail membuka lagi satu alasan mengapa projek tambakan pulau buatan itu tidak patut diteruskan.

- Advertisement -

Menurut Ismail, setelah media melaporkan bahawa Kerajaan DAP Pulau Pinang ingin meneruskan pembinaan pulau bermula dengan Pulau A, berbanding Pulau B, pelan penambakan yang diihat cukup menggerunkan dirinya.

Jelasnya, setelah pelan tambakan berubah, dari Pulau B, A dan C kepada turutan Pulau A, B dan C, beliau mendapati fasa awal tambakan Pulau A akan membentuk satu fenomena air pasang surut laut yang membahayakan.

Fasa pertama tambakan Pulau A akan membentuk sebuah pulau yang berbentuk seperti halia atau huruf ‘E’ tanpa garisan di tengah.

Bentuk tersebut kata Zakaria, akan membahayakan nyawa nelayan-nelayan di sekitar termasuk Sungai Batu memandangkan air pasang yang datang bersama ribut akan membentuk ombak besar setinggi dua meter, sedangkan kebanyakan bot-bot nelayan di situ hanya mempunyai ketingian kurang daripada satu meter.

“Jadi tentulah, ia mengancam dan membahayakan nyawa nelayan-nelayan di empat kawasan ini (Gertak Sanggul, Teluk Kumbar, Sungai Batu, dan Permatang Tepi Laut).

“Sebab sekarang, apabila ribut datang dan air pasang dalam masa sama, kami di bahagian Pulau Kendi dan Gertak Sanggul tidak boleh melalui selat ini.

“Bahkan ribut pukat tunda pun tidak berani hendak lalui belakang Pulau Kendi, saya alami sendiri ribut di Pulau Kendi ini, banyak kali juga.

“Sampan saya yang kecil ini cuma nampak air laut sahaja, kita berdoa sahaja dalam hati supaya selamat sampai. Alhamdulillah sampai.

“Kalau jadi pembinaan Pulau A, makna kata nyawa kami terancamlah, antara hidup dan mati, itu yang saya paling takut sekali,” ujarnya kepada Harakahdaily, baru-baru ini.

Tambah Zakaria lagi, dengan situasi dan fenomena air laut itu, kawasan tersebut akan menjadi seperti lagun atau air akan bergerak seperti di Segi Tiga Bermuda disebabkan tiada laluan untuk air keluar.

Fenomena itu akan menyebabkan nelayan-nelayan sekitar sukar untuk keluar masuk disebabkan ia mengancam nyawa mereka.

Sementara itu, Zakaria yang merupakan Ketua Unit Nelayan Sungai Batu turut menjelaskan kesan lain yang bakal dihadapi nelayan setelah ketiga-tiga pulau buatan siap dibina.

Jarak antara kawasan persisiran pantai dan ketiga-tiga pulau buatan itu katanya akan menjadi seperti dataran selut disebabkan tiada laluan keluar untuk air laut atau ombak yang menghempap pantai.

“Kalau tengok saliran ini, saliran ini lebih kurang 250 meter lebar dia. Jadi, apabila ribut datang, dia akan bawa selut sekali, dia akan masuk dan kambus atau tutup jalan ini.

“Jadi di mana laluan untuk nelayan keluar ke laut? Di sini akan terkambus, sebab tiada outlet, ada inlet sahaja.

“Dia (ombak dan ribut) masuk, bertambun, menjadi laluan seluat, dia hendak keluar ikut laluan mana? Ini akan menjadi satu halangan untuk nelayan keluar.

“Jadi macam kuala-kuala yang ada, apabila ribut, dia kambus, apabila jadi cetek, air tidak boleh keluar. Kalau tidak terkambus penuh pun, dia cetek,” katanya.

Di samping itu beliau turut menasihati pemaju atau Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyediakan peruntukan untuk kos selenggara di sekitar persisiran pantai.

Ini kerana, sebelum ini nelayan-nelayan di sekitar melakukan penyelenggaraan setiap dua tahun sekali dengan kos RM200,000 untuk selenggara di persisir pantai sepanjang 100 meter.

“Mereka hendak buat Pulau A bentuk halia dahulu, kemudian baru hendak buat penuh. Bayangkan ini pun makan masa belas tahun.

“Siap halia pun ada masalah, siap semua pun ada masalah. Malah, nelayan di Perak dan Kedah akan turut terkesan dengan projek ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/6/2021

- Advertisement -