Rakyat makin sedar untuk terima vaksin Covid-19

- Advertisement -

JERAI: Kesedaran rakyat untuk menerima vaksin Covid-19 dilihat semakin meningkat.

Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Sabri Azit berkata, peratus kehadiran penerima di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) juga semakin baik.

“Alhamdulilah, sambutan kepada penerimaan vaksin juga sangat menggalakkan. Peratus kehadiran juga memberangsangkan dan ini membuktikan  kesedaran rakyat untuk divaksinasikan semakin baik,” kata beliau ketika lawatannya ke PPV di Dewan Serba Guna, Guar Cempedak, hari ini.

- Advertisement -

Menurutnya lagi, kelancaran program vaksinasi itu juga hasil kerjasama para petugas yang sanggup berkorban masa dan tenaga menjayakannya.

“Bukan mudah untuk melayan pelbagai kerenah dari pagi sampai petang sebegini,” ujarnya lagi.

Sabri juga tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat sama ada petugas kesihatan, sukarelawan mahu pun pasukan keselamatan.

Sempena lawatan itu, beliau turut menyampaikan sumbangan ‘KFC Bucket’ kepada para petugas.

Di samping itu beliau juga turut menyampaikan sumbangan makanan kepada para petugas keselamatan di beberapa sekatan jalan raya (SJR) sekitar Jerai.

Sebelum itu ahli parlimen berkenaan sempat menziarahi petugas sukarelawan di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah Yan.

“Semoga suasana ini bertambah baik dan insya-Allah kita akan menang melawan wabak Covid ini,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 4/6/2021

- Advertisement -