Kerajaan cadang buka 600 PPV seluruh negara

- Advertisement -

Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD

KUALA TERENGGANU: Kerajaan menjangkakan akan mendapat lebih banyak bekalan vaksin pada bulan Jun, Julai dan Ogos bagi membolehkan lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dibuka serta lebih banyak kaedah vaksinasi dilaksanakan.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Dato’ Ahmad Amzad Hashim berkata, memang dalam perancangan kerajaan bagi menambahkan lagi PPV seluruh negara.

Menurutnya, selain dari kaedah PPV tetap yang dilaksanakan ini, sedang diaturkan termasuk juga PPV bersifat sementara iaitu PPV masjid.

- Advertisement -

“Ini projek perintis PPV Masjid dan ini penting bagi memberi keyakinan khususnya kepada umat Islam. Saya akan mulakan usaha ini di Kuala Terengganu.

“Sasaran kita sekitar 600 PPV seluruh negara dan ada PPV Mega. PPV Mega seperti di World Trade Centre (WTC) yang boleh melaksanakan lebih 8,000 suntikan setiap hari.

“PPV Mega Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam, melaksanakan sekitar 3,000 suntikan. Kita ada PPV yang baharu dibuka iaitu Malaysia International Trade and Exhibition (MITAC) di Kuala Lumpur, yang melaksanakan 3,000 suntikan.

“Kita (kerajaan) dalam proses untuk membuka lima lagi PPV Mega iaitu di Suria KLCC (Kuala Lumpur City Centre), The Mones Exhibition Centre, Setia Alam Convention C, UiTM Puncak Alam dan khemah besar di Stadium Nasional Bukit Jalil, Insya’Allah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang medianya selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), di Kampung Laut, Kuala Terengganu, 3 Jun lalu.

Setakat ini, katanya berpuas hati dengan perjalanan dan pengurusan di PPV PSKT yang mengendalikan 600 suntikan vaksinasi setiap hari.

“Sebelum ini, saya juga melakukan lawatan ke PPV Dewan Sivik Kertih, Kemaman dan selepas ini saya akan ke PPV Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus.

“Kita di pihak kerajaan masih lagi perlu meningkatkan kadar vaksinasi di kalangan rakyat kita. Ini kerana, kerajaan mensasarkan imuniti kelompok sebanyak 80 peratus rakyat yang menerima suntikan sebelum berakhirnya hujung tahun ini.

“Ini penting, supaya rakyat dan penduduk Malaysia mendapat perlindungan secukupnya. Sehingga kini, sudah lebih 13 juta rakyat Malaysia telah pun mendaftar untuk Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu mendakwa, kadar vaksinasi secara keseluruhan peringkat kebangsaan adalah 6.4 peratus.

“Ini sekitar 50 peratus lebih yang kita sasarkan belum mencukupi dan kerana itu, kita meminta semua pihak dapat memainkan peranan bagi meningkatkan pendaftaran imunisasi.

“Terengganu, Sabah, Kelantan dan Kedah kadar vaksinasinya yang dilaksanakan masih lagi ketinggalan dan begitu juga dengan kadar pendaftarannya,” tegas Dato’ Amzad.

Menurutnya, buat masa ini kerajaan mempunyai tiga jenis vaksin iaitu Pfizer-BioNtech, Sanovac dan Astra Zeneka.

Katanya, Malaysia akan menerima keseluruhan jumlah vaksin Sanovac yang ditempah sebanyak 12 juta dos sebelum bulai Julai depan.

Tambah beliau, mulai bulan Julai juga setiap minggu kerajaan akan menerima 2 juta dos vaksin Pfizer-BioNtech. – HARAKAHDAILY 4/6/2021

- Advertisement -