Keputusan SPM pada 10 Jun

Dr Radzi Jidin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 akan diumumkan pada 10 Jun, kata Menteri Kanan (Pendidikan) Datuk Dr Radzi Jidin.

- Advertisement -

Dalam klip video ringkas yang dimuat naik menerusi akaun Facebook rasminya, beliau berkata calon-calon boleh menyemak keputusan peperiksaan itu mengikut kaedah yang akan diperincikan.

“… kementerian akan mengeluarkan kenyataan media dan kita akan jelaskan apakah kaedah yang boleh digunakan oleh calon-calon untuk menyemak keputusan mereka,” katanya.

Seramai 401,105 calon menduduki SPM 2020 yang dilaksanakan pada 22 Feb lepas dan tamat 25 Mac, melibatkan 83 kertas peperiksaan di 3,310 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Calon SPM 2020 merupakan kumpulan pelajar yang telah mengikuti sesi kelas SPM tahunan terpanjang iaitu hampir 14 bulan, sehingga memaksa mereka beralih kepada pembelajaran secara dalam talian menerusi aplikasi seperti Google Meet, Google Classroom dan Skype berikutan penularan pandemik Covid-19.

Sementara itu Kementerian Pendidikan dalam kenyataannya memaklumkan calon sekolah dan calon persendirian boleh membuat semakan keputusan melalui kaedah dalam talian dan pekhidmatan sistem pesanan ringkas (SMS).

Menurut kenyataan itu semakan dalam talian boleh dilakukan di pautan myresult1.moe.gov.my atau myresult2.moe.gov.my untuk mendapatkan keputusan penuh. 

“Semakan keputusan SPM 2020 juga boleh dilakukan menerusi perkhidmatan SMS untuk mendapatkan ringkasan keputusan  dengan menaip SPM (jarak) NoKP (jarak) Angka Giliran dan hantar ke 68886.

“Perkhidmatan ini akan diaktifkan mulai 10 pagi 10 Jun hingga 6 petang 17 Jun,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Pendidikan juga memaklumkan bagi calon sekolah yang tidak mempunyai capaian internet, pihak sekolah akan mengenal pasti calon berkenaan dan memaklumkan kaedah yang sesuai untuk mendapatkan keputusan peperiksaan.

Sementara bagi calon persendirian yang tidak mempunyai capaian internet, pihak Jabatan Pendidikan Negeri / Pejabat Pendidikan Daerah akan mengenal pasti calon terbabit dan memaklumkan kaedah yang sesuai untuk mendapatkan keputusan peperiksaan, menurut kenyataan itu. – BERNAMA

- Advertisement -