Kerajaan perlu lanjut tempoh moratorium, PSU

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan memperkenalkan semula moratorium kepada semua pihak yang terjejas pendapatan ketika sekatan pergerakan penuh (total lockdown) ini adalah tindakan yang tepat dan terbaik.

Bagaimanapun Penganalisis Politik, Prof Madya Dr Anuar Shah Bali Mahomed berkata, pemberian moratorium ini perlu diteruskan sehingga Disember 2021 atau sekurang-kurangnya sehingga September tahun ini.

- Advertisement -

Ini kerana menurut beliau, keutamaan rakyat pada ketika adalah untuk kelangsungan hidup dan tidak berkepentingan untuk melunaskan pinjaman bank.

“Jika mereka kekurangan pendapatan, kerajaan perlu melaksanakan moratorium dan telah melaksanakannya bagi membolehkan rakyat yang terjejas ini membeli barangan keperluan dan sebagainya.

“Pemberian moratorium ini sedikit sebanyak membantu rakyat Malaysia meningkatkan jumlah perbelanjaan pada ketika ini,” ujarnya sambil menambah bahawa perbelanjaan isi rumah merosot sebanyak 16.7 peratus dalam tempoh sedekad.

Sementara itu, beliau mencadangkan agar kerajaan dapat memberi pengurangan 50 peratus Kadar Faedah Semasa (KFS) untuk semua jenis pinjaman bagi meringankan beban rakyat.

Ini kerana menurutnya, bank tempatan di Malaysia masih kekal mencatatkan keuntungan bagi tahun 2020 meskipun prestasi keuntungan lebih rendah berbanding tahun sebelumnya.

Selain itu katanya, Program Subsidi Upah (PSU) 4.0 juga perlu diteruskan sekurang-kurangnya sehingga Ogos 2021 kerana inisiatif ini dilihat benar-benar memberi kesan positif dalam membantu perniagaan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk bernafas.

“Dengan melanjutkan PSU ini akan dapat mengawal kadar pengangguran daripada meningkat.

“Kalau kita ingat lagi ketika PKP 1.0 dulu, kemuncak kadar pengangguran adalah sebanyak 5.1 peratus dan Februari tahun ini, berlaku penurunan iaitu sebanyak 4.8 peratus.

“PSU pertama hingga ketiga telah berjaya menurunkan kadar pengangguran negara.

“Oleh itu, PSU ini perlu diteruskan sekurang-kurangnya sehingga Ogos ini kerana ia berperanan sebagai serampang dua mata iaitu dapat memastikan PKS tidak gulung tikar dan membantu rakyat Malaysia memperolehi pendapatan melalui peluang pekerjaan yang ada,” katanya kepada Harakahdaily pada Selasa.

Justeru katanya, dengan memperkenalkan semula moratorium dan PSU 4.0 dilihat antara langkah yang dapat membantu rakyat terjejas ketika situasi mencabar ini. – HARAKAHDAILY 3/6/2021

- Advertisement -