Salah faham dari foto diulang siar

- Advertisement -

SAYA menikmati juadah bersama kenalan di Nasi Dagang vs Kopi Kapung ini pada Disember tahun lepas. Ketika itu, SOP MKN membenarkan kedai makan menyediakan ‘dine in’. Bila selesai makan, saya ke singki untuk membasuh tangan, face mask pula masih kekal di poket. Owner kedai minta untuk rakamkan sekeping gambar setelah saya selesai membayar bungkusan makanan. Kita juga memahami, pemiliknya ingin promosikan lagi kedainya. Sebenarnya, sebelum dan selepas kejadian itu ada beberapa kali membeli juadah di warung ini. Memang keaslian nasi dagang, nasi minyak dan nasi kunyitnya memiliki sentuhan ‘orang-orang lama’. Seandainya dibuka jualan, saya sangat syorkan buat masyarakat berhampiran mengunjungi premis ini.

Hantaran dalam Instagram dan Facebook pemilik premis ini dilakukan ulang siar hantaran (repost) sebagai satu promosi perniagaannya pada bulan Mac 2021. Malah, Amazing Terengganu turut mengambil hantaran pemiliknya diletakkan di laman Amazing Terengganu. Satu laman yang aktif mempromosikan Terengganu. Saya sendiri pun tidak perasan hantaran itu. Sehinggalah pemiliknya mesej memaklumkan gambar saya yang letak pelitup muka di poket mendapat kecaman sebahagian netizen. Beliau mintak maaf sebab tanpa sedar ia telah mengundang fitnah buat diri saya. Beliau juga telah maklumkan kepada admin Amazing Terengganu untuk memadamkan gambar saya. Pada saya sendiri, tidak kisah sangat. Kalau masih ada gambar tersebut, tentu ada yang akan tag saya untuk tanyakan perkembangan hal tersebut. Tentunya boleh juga untuk menjelaskan keadaan sebenar. Waktu itu saya anggap kes ini selesai dan berlalu begitu sahaja.

- Advertisement -

Insiden ini terus melarat hingga membawa kepada siasatan pihak PDRM. Pemilik premis, penjual dan saya sendiri dipanggil pihak PDRM untuk memberikan keterangan. Saya memberikan keterangan Isnin baru ini. Kekadang itu kesian juga kepada pasukan PDRM kerana terpaksa membuka kertas siasatan atas anggapan seperti melanggar SOP akibat makan di kedai pada musim SOP diperketatkan dan tidak pula memakai pelitup muka. Kesian juga buat pemilik premis yang terpaksa melayani tuntutan siasatan ini sedangkan hasrat asal hanya untuk mempromosikan premis miliknya. Malah bukan gambar saya seorang sahaja yang dipamerkan. Ia dikunjungi ramai pengunjung waktu itu.

Coretan ini sekadar perkongsian untuk kita lebih berhati-hati. Tidak guna nak lepaskan rasa marah kepada ‘si tukang komen’ sebab situasi Mac-April merupakan situasi tegang semua rakyat ekoran peningkatan kes COVID-19 dan proses memperketatkan SOP oleh pihak berkuasa. Tapi kalau mereka siasat sikit dengan hantaran yang sebelumnya, mungkin tidak tercetuslah pula komen mereka.

Pengajarannya juga, hantaran gambar lama untuk dirakamkan dalam media sosial sekarang ini perlu dimaklumkan kejadian berlakunya. Kalau tidak haru jika dilihat tidak mematuhi SOP. Fikir panjang sebelum ‘posting’.

Suasana hari ini juga menuntut agar kita mesti berusaha mematuhi segala SOP yang diperkenalkan pihak berkuasa agar kita benar-benar berjaya dalam memutuskan rantaian jangkitan pandemik ini. Tanpa mengira samada kita bergelar pemimpin atau rakyat.

Buat pemilik premis dan PDRM khususnya ASP yang bersusah payah mengambil keterangan, saya pohon maaf kerana sekeping gambar saya menyusahkan anda semua.

YB USTAZ HISHAMUDDIN ABDUL KARIM
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan & NGO Kerajaan Negeri Terengganu
ADUN Tepoh – HARAKAHDAILY 3/6/2021

- Advertisement -