Kerajaan disaran kredit RM100 sebulan bantu rakyat terkesan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menggalakkan rakyat untuk beralih kepada digital ekonomi dan memperbanyak inisiatif berkaitan peralihan berkenaan di dalam Belanjawan 2022, kata Penganalisis Politik, Prof Madya Dr Anuar Shah Bali Mahomed.

- Advertisement -

Melalui usaha berkenaan, beliau mencadangkan agar kerajaan mengkreditkan RM100 setiap bulan ke dalam e-dompet penerima khususnya dalam kategori B40 atau golongan yang terjejas pendapatan setiap bulan untuk kelangsungan hidup mereka.

Ini kerana jelas beliau, berdasarkan kaji selidik kesan PKP 1.0 pada isi rumah dan perniagaan oleh Kementerian Kewangan Malaysia (MoF) sebelum ini menunjukkan bahawa PKP 1.0 menggugat mata pencarian 2.8 juta rakyat yang bekerja sendiri atau mengambil upah harian.

Anuar Shah berkata, satu pertiga (isi rumah dan perniagaan) tidak mampu untuk mengekalkan perbelanjaan lebih daripada sebulan, 82 peratus pekerja sektor swasta hanya mempunyai simpanan kurang daripada dua bulan, 68 peratus perniagaan melaporkan tiada jualan atau hasil ketika PKP 1.0 dan 42.5 peratus perniagaan memerlukan lebih enam bulan untuk pulih.

Justeru, melalui platform digital ekonomi berkenaan dapat memberi manfaat kepada rakyat secara konsisten setiap bulan dan dapat merancakkan lagi sektor ekonomi berskala kecil seperti Perusahaaan Kecil dan Sederhana (PKS).

“Perkara ini juga boleh merancakkan ekonomi digital apabila kerajaan melibatkan pengusaha makanan, kedai runcit, penjaja warung, peniaga kecil, warung untuk mendaftar dalam e-wallet dan memperolehi manfaat yang diberi kepada rakyat B40 tadi melalui pengkreditan RM100 setiap bulan.

“Ia juga bukan suatu bebanan yang besar kepada kerajaan setelah mengambil unjuran Menteri Kewangan dalam Belanjawan 2021 di mana jumlah golongan B40 adalah 8 juta orang.

“Bila kita buat RM100 sebulan untuk 8 juta orang ini sekitar RM800 juta sebulan dan RM9.6 bilion setahun. Jumlah ini kalau kita bandingkan dengan Belanjawan 2021 iaitu RM332.5 blilion, jadi tidaklah terlalu besar amaunnya,” katanya kepada HarakahDaily pada Selasa.

Pada Isnin, kerajaan memaklumkan untuk memperuntukkan
RM2.1 bilion bagi menambah kadar program Bantuan Prihatin Rakyat atau BPR.

Bagi kategori isi rumah yang berpendapatan di bawah RM2,500, mereka akan menerima kadar BPR tambahan sebanyak 500 ringgit dan isi rumah berpendapatan antara RM2,501 hingga RM5,000 , akan menerima kadar sebanyak RM300. Golongan bujang pula akan menerima 100 ringgit.

BPR tambahan ini akan mula dimasukkan ke akaun penerima pada penghujung Jun ini.

Bayaran ini merupakan tambahan kepada fasa bayaran terakhir BPR bulan September kelak sebanyak RM2.4 bilion. – HARAKAHDAILY 2/6/2021

- Advertisement -