COVID-19: Seru MP kerajaan, pembangkang sumbang elaun

- Advertisement -

TERIMA kasih kerajaan di atas program bantuan PEMERKASA+ yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri. Syabas kepada Jemaah Menteri dan Timbalan Menteri yang telah bersetuju menyumbangkan 3 bulan gaji mereka mulai Jun 2021 ke dalam Akaun Amanah Bencana Negara bagi membiayai perbelanjaan berkaitan COVID-19.

Saya kira amalan kepimpinan melalui teladan ini adalah tindakan yang paling tepat bagi barisan kepimpinan negara yang komited berkerja untuk rakyat dan negaranya dalam situasi kritikal seperti hari ini.

Pemuda Perikatan Nasional juga merakamkan sekalung penghargaan kepada kerajaan kerana peka terhadap cabaran yang dihadapi anak muda apabila mengambil kira pandangan dan buah fikiran serta cadangan kami.

- Advertisement -

Antara cadangan tersebut adalah:

1. Pemberian Moratorium kepada rakyat biarpun anak muda masih perlu ‘opt in’ untuk mendapatkan bantuan ini, sekurangnya mereka boleh memilih antara 3 bulan moratorium ataupun potongan 50 peratus daripada bayaran bulanan selama 6 bulan.

2. Pemberian wang tunai juga diberikan kepada anak muda yang terdiri daripada golongan B40 dan M40 serta tidak ketinggalan juga buat anak muda yang terlibat dalam perniagaan yang mana kerajaan berbesar hati untuk menyediakan suntikan kewangan sebanyak RM1500 melalui Program Geran Khas Prihatin (GKP).

Kesemua ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan hari ini prihatin dan inklusif di dalam merencana kelangsungan anak muda di negara ini.

Pemuda Perikatan Nasional juga menyeru agar semua Ahli Parlimen Malaysia tidak kira daripada blok pemerintah mahupun pembangkang untuk turut menyumbang elaun mereka selama tiga bulan seperti mana yang dilakukan oleh jemaah Menteri dan Timbalan Menteri.

Sekarang adalah waktu yang amat sesuai untuk semua Yang Berhormat menunjukkan contoh teladan yang baik dan bersedia untuk berkorban demi rakyat dan negara.

YB SENATOR IR. TS. HJ. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Pemuda Perikatan Nasional 
Ketua Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 2/6/2021

- Advertisement -