Bawa ‘jabir ubat’ ke pusat suntikan vaksin

- Advertisement -

KOTA BHARU: Penerima vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dinasihat supaya membawa ubat-ubatan yang digunakan ke lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk memudahkan dikenal pasti penyakit mereka.

Pensyarah Bioperubatan Pusat Pengajian Sains Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, Shaharum Shamsuddin berkata, usaha itu wajar dilakukan bagi memudahkan urusan pemeriksaan kesihatan.

- Advertisement -

“Setiap penerima vaksin akan diperiksa tahap kesihatan sebelum menerima suntikan vaksin, sebab itu saya mencadangkan agar bawa ‘jabir ubat’ bagi memudahkan lagi pemeriksaan petugas kesihatan.

“Cuma pengambilan vaksin Covid-19 tidak digalakan kepada individu yang mempunyai masalah alahan, remaja 18 tahun ke bawah, ibu mengandung dan individu yang memiliki gangguan imunisasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada segmen bual bicara anjuran Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri (UPKN) bertajuk ‘vaksin apa kata pakar’ bersama pengacara Azimi Mahmood, disiarkan secara langsung di Facebook UPKN di sini semalam.

Walaupun terdapat kira-kira 15 vaksin Covid-19 yang dihasilkan oleh syarikat pengeluar ubat seluruh dunia, namun Malaysia hanya menerima tiga jenis vaksin iaitu Pfizer BioNTech, Oxford AstraZeneca dan Sinovac.

Menurutnya, kerajaan melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempunyai peraturan ketat sebelum sesuatu vaksin yang dihasilkan dapat diberikan kepada rakyat.

Jelas beliau lagi, sesuatu vaksin yang diluluskan di peringkat global tidak semestinya akan diterima di negara ini, bahkan kajian juga dilakukan bagi memastikan keberkesanan terhadap rakyat di Malaysia.

“NPRA merupakan antara organisasi regulatori yang sangat tegas dalam isu ini kerana sistem kita kalau sudah diluluskan di peringkat antarabangsa, NPRA tetap melakukan kajian lagi.

“NPRA kita sudah lumat melakukan kajian bagi memastikan keberkesanan vaksin yang diberikan kepada rakyat Malaysia bagi memastikan keberkesanannya,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 2/6/2021

- Advertisement -