PEMERKASA Plus: PAS yakin situasi negara bertambah pulih

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man optimis melalui Program Strategik dan Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA Plus), situasi negara hari ini akan bertambah pulih sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing.

Menurutnya, kerajaan melalui PEMERKASA Plus terus menzahirkan keprihatinan tinggi dalam memastikan sektor kesihatan terus berada dalam kapasiti terbaik dan sektor ekonomi mampu bertahan.

- Advertisement -

“Tiga perkara utama diberikan perhatian tinggi iaitu meningkatkan kapasiti kesihatan awam, prihatin poket rakyat dan kelangsungan perniagaan.

“Kerajaan meletakkan sasaran yang jelas supaya PICK (Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan) dapat diselesaikan pada bulan Disember tahun ini.

“Dalam tempoh tersebut, kapasiti kesihatan awam mesti kuat. Operasi dan pengurusan terus diupayakan. Pemberian vaksin akan ditingkatkan sehingga 150,000 sehari termasuk menggunakan jentera mobil untuk memudahkan rakyat,” ujarnya ketika dihubungi HarakahDaily, hari ini.

Tambahnya, kerajaan juga secara jelas tidak mengabaikan keluh-kesah rakyat yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dengan bertindak menawarkan moratorium kepada mereka yang terjejas.

Malah, Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) terus diberi malah dinaikkan, katanya.

“Saya optimis, keadaan sekarang akan bertambah pulih jika semua pihak memainkan peranan penting. SOP diperketatkan dan vaksin dipercepatkan. Program keagamaan khususnya dalam media disemarakkan.

“Insya-Allah, usaha kita bersama ini amat signifikan. Kita mesti terus berjuang memutuskan rantaian Covid-19 tahun ini,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Malam tadi, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PEMERKASA Plus ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh, bantuan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa PLUS) berjumlah RM40 bilion, melibatkan suntikan kewangan RM5 bilion daripada kerajaan.

Beliau berkata, bantuan itu berlandaskan tiga matlamat utama iaitu Mempertingkatkan Kapasiti Kesihatan Awam, Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat dan Menyokong Kelangsungan Perniagaan. – HARAKAHDAILY 1/6/2021

- Advertisement -