Awalkan tarikh BPR, luaskan moratorium kepada M40, PKS

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menyarankan kerajaan menyalurkan Bantuan Prihatin Rakyat lebih awal berbanding tarikh asal iaitu pada akhir Jun bagi meringankan beban rakyat mendepani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ketika ini.

DPIM juga turut mencadangkan kerajaan meluaskan bantuan moratorium automatik kepada M40 serta peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dan memberikan diskaun bil elektrik kepada pengguna.

- Advertisement -

Menurut Ketuanya, Shahir Adnan, cadangan itu dikemukakan bagi menambah baik PEMERKASA Plus agar bersifat lebih menyeluruh.

Katanya, ramai golongan yang terhimpit dengan desakan hidup, terutamanya golongan M40 yang menetap di bandar-bandar dan PKS yang turut terkesan hasil pendapatan akibat perniagaan mereka terjejas.

“Penambahbaikan lain yang diharapkan adalah berkenaan diskaun elektrik, yang sepatutnya diberikan kepada rakyat yang melakukan ‘self-lockdown‘ di rumah masing-masing.

“Bil elektrik sememangnya akan melambung tinggi kerana penggunaan elektrik yang banyak di rumah.

“Malangnya, diskaun 10 peratus tersebut diberikan kepada enam sektor terpilih yang tidak akan dibuka pada waktu PKP ini, iaitu hotel, taman tema, konvensyen, pusat beli belah, syarikat penerbangan dan agensi pelancongan.

“Apa rasionalnya memberikan diskaun kepada agensi pelancongan yang ditutup waktu PKP?” soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Di samping itu, beliau mewakili DPIM turut menyeru rakyat Malaysia bersama-sama kerajaan membendung penularan Covid-19 yang menurutnya semakin mengganas hari ini.

Dalam masa sama, beliau juga berharap agar kerajaan mendengar rintihan dan denyut nadi rakyat agar tiada rakyat yang tersisih dalam bantuan kerajaan, terutamanya golongan M40, B40 dan PKS memerlukan bantuan daripada kerajaan.

Shahir juga berharap bahawa PEMERKASA Plus dapat meringankan bebanan yang ditanggung rakyat ketika ini dan matlamat PEMERKASA Plus tercapai seperti yang dirancang. – HARAKAHDAILY 1/6/2021

- Advertisement -