PEMERKASA Plus: Kerajaan ambil iktibar PKP sebelum ini

Bantuan nampak lebih fokus dan tepat kepada golongan rentan - Penganalisis Sosioekonomi

Photo by Mohd Jon Ramlan on Unsplash
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan dilihat berpengalaman dalam membentangkan pakej ekonomi tambahan kali ini, iaitu Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA Plus).

Menurut Penganalisis Sosioekonomi, Ahmad Fauzi Mustafa, tindakan kerajaan memberi pilihan kepada golongan terjejas untuk membuat moratorium automatik selama tiga bulan atau mendapatkan pengurangan bayaran balik secara ansuran sebanyak 50 peratus bagi tempoh enam bulan ternyata membuktikan bahawa kerajaan mengambil iktibar daripada pengalaman sebelum ini.

- Advertisement -

Ini membuktikan bahawa kerajaan sudah memahami permasalahan sosio-ekonomi rakyat yang terpaksa berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 kali ini, ujarnya.

“Moratorium memang pernah dilakukan tahun lepas, tetapi kali ini dalam PEMERKASA Plus secara automatik selama tiga bulan ataupun memilih mendapatkan pengurangan bayaran balik sebanyak 50 peratus selama enam bulan.

“Maksudnya, kerajaan telah mengambil iktibar daripada pengalaman lalu, dan dia serasikan dengan kadar semasa.

“Maknanya seperti yang saya sebut tadi, kenapa ada 50 peratus? Kerana kerajaan sudah dapat tahu dia punya permasalahan sosio-ekonomi rakyat.

“Jadi dia teruskan bantuan itu dengan kaedah yang sama, tetapi kali ini lebih fokus kepada golongan sasar.

“Jadi bantuan-bantuan pada kali ini nampak lebih fokus dan tepat kepada golongan rentan,” ujarnya mengulas berhubung PEMERKASA Plus ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Sementara itu, beliau turut optimis bahawa kerajaan akan terus memikirkan kaedah dan langkah-langkah terbaik untuk memastikan rakyat Malaysia berkeupayaan untuk meningkatkan semula ekonomi kendiri masing-masing.

Selain itu, kerajaan juga katanya, dilihat berterusan menyokong kelangsungan kelompok peniaga-peniaga kecil dan start-up dengan pemberian bantuan dan juga dana untuk memulihkan semula perniagaan mereka.

Terutamanya kepada peniaga kecil dan sederhana (PKS) supaya mereka boleh kembali membangunkan ekonomi dan perniagaan masing-masing, seterusnya menstabilkan ekonomi mereka.

Di samping itu, beliau turut berpendapat bahawa rakyat Malaysia perlu bersyukur dengan bantuan-bantuan yang disalurkan kerajaan.

“Saya melihat kita (sebagai) rakyat seharusnya bersyukur kerana kerajaan terus menerus membantu tidak kira dalam keadaan bagaimana sekalipun, terutama ketika PKP 3.0.

“Saya melihat, kerajaan terus bermatlamat selari dengan peranan Perdana Menteri, (yang memastikan) kesejahteraan kesihatan awam itu terus terjaga.

“Selain itu, agenda prihatin rakyat dan kelangsungan mikro, itu secara asasnya untuk membina semula ketahanan diri masing-masing.

“Dia (Perdana Menteri) perlukan sokongan-sokongan dan mentaliti yang boleh meningkatkan keupayaan masing-masing.

“Selain dari itu, kita juga melihat kerajaan terus-menerus membantu B40 dan M40 yang terjejas pekerjaan dan pendapatan akibat Covid-19.

“Malah, mereka yang positif Covid-19 terus menerus diberi fasiliti kesihatan yang baik oleh kerajaan untuk memastikan kesihatan rakyat terus terjamin,” ujarnya.

Tambahnya, beliau juga yakin sekiranya kerajaan menyegerakan dan memperluaskan Program Imunisasi Kebangsaan (PICK) secara optimum, daya tahan ekonomi negara dan rakyat akan semakin pulih.

Perkara itu katanya boleh dilihat kepada negara-negara yang sudah berjaya mencapai kes aktif bawah 50 kes seperti di China, New Zealand, Australia dan negara-negara Eropah yang lain.

“Mereka dapat berniaga, ekonomi semakin pulih. Jadi beberapa negara Eropah pun, kadar Covid-19 semakin berkurangan, kerana ada program vaksinasi.

“Bila sudah berjaya, kerajaan boleh terus fokus bagaimana melipatgandakan lagi perancangan pembangunan ekonomi,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/6/2021

- Advertisement -