Covid-19: Menteri, timbalan tidak ambil gaji tiga bulan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sebagai tanda sokongan untuk memutuskan rantaian Covid-19, barisan menteri dan timbalan menteri tidak mengambil gaji selama tiga bulan mulai Jun ini.

Katanya, gaji yang tidak diambil itu akan disumbangkan ke dalam Akaun Amanah Bencana sebagai membiayai perbelanjaan berkaitan Covid-19.

“Sepertimana yang telah diamalkan semasa PKP pertama tahun lalu, saya ingin memaklumkan tanda sokongan barisan menteri dan timbalan menteri dengan tidak mengambil gaji selama tiga bulan mulai Jun 2021,” ujarnya semasa menyampaikan perutusan khas berkaitan Bantuan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa+), malam ini.

- Advertisement -

Perutusan khas itu disiarkan secara langsung di beberapa stesen televisyen tempatan termasuk RTM, TV3, TV Al Hijrah, Astro 502, myFreeview 121, unifi TV 631, LIVE Facebook & Youtube Bernama TV.

Beliau juga menjelaskan keputusan untuk melaksanakan lockdown adalah satu keputusan yang sukar tetapi terpaksa dibuat.

“Sama ada lockdown yang dilaksanakan ini akan berjaya atau tidak semuanya terserah kepada saudara dan saudari serta ketentuan Ilahi,” katanya.

Menurutnya, kerajaan telah menutup hampir semua sektor ekonomi dan sosial untuk mengurangkan pergerakan rakyat dan memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

“Saudara dan saudari dikehendaki duduk di rumah, stay at home, dan saya ulangi, just stay at home, dan sentiasa patuh kepada SOP.

“Jika saudara dan saudari gagal mematuhi arahan ini, maka kita semua akan gagal, na’uzubillah.

Beliau turut menyeru kepada para frontliners supaya bertabahlah dalam melaksanakan tugas.

“Saya tahu anda semua penat berperang melawan virus ini sejak lebih setahun yang lalu.

“Saya ingin ulangi penghargaan kerajaan yang tidak terhingga atas segala jasa dan pengorbanan para frontliners kita di seluruh negara.

“Saya doakan agar anda semua terus diberikan kekuatan oleh Allah SWT untuk mengharungi cabaran dan dugaan yang amat besar ini.

Muhyiddin juga mendoakan agar semua pesakit yang sedang bertarung melawan Covid-19 diberikan kesembuhan segera.

“Saya dengan penuh dukacitanya mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa Covid-19 yang telah meninggal dunia.

“Mudah-mudahan anda semua tabah menghadapi dugaan yang amat berat ini.

“Marilah kita bersama-sama panjatkan doa ke hadrat Allah SWT mudah-mudahan wabak yang sedang melanda negara kita dan seluruh dunia pada masa ini segera berakhir. Terima kasih,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 31/5/2021

- Advertisement -