Tindakan tegas penduduk enggan suntik vaksin

Foto hiasan.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan tidak menerima sebarang laporan kesan negatif dialami orang ramai yang telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin, dengan pengambilan suntikan vaksin imuniti dapat dicapai apabila sistem imun tubuh berjaya merangsang penghasilan antibodi diperlukan untuk melindungi diri daripada penyebab jangkitan.

- Advertisement -

Bagaimanapun katanya, penerima vaksin masih boleh dijangkiti, namun kebarangkalian untuk mendapat gejala teruk dan memerlukan rawatan adalah rendah berbanding individu yang tidak menerima vaksin.

“Setakat ini penerima yang telah disuntik vaksin tidak merekodkan kesan sampingan yang memudaratkan dan bukan semua penerima vaksin akan menunjukkan kesan sampingan dan jika ada pun, ia adalah minimum.

“Malah, sekiranya kita dapat suntik vaksin kepada rakyat sehingg 80 peratus ia dapat meningkatkan imuniti badan dan dengan itu juga apabila kita dapat bebas daripada wabak sekaligus kita dapat membuka semua sektor ekonomi, pendidikan dan sebagainya serta negara boleh terus berjalan dengan baik.

“Untuk mempercepatkan ke arah itu jadi saya minta kerjasama rakyat untuk mendaftar bagi mengambil suntikan dan sudah tentunya frontliners sentiasa bersedia memberi khidmat terbaik kepada kita semua,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Pusat Pemberian Vaksin di Dewan Majlis Daerah Ketereh, di sini hari ini.

Bagaimanapun kata beliau kerajaan akan mengambil tindakan lebih tegas sekiranya rakyat enggan mengambil suntikan vaksin dan gagal mencapai persetujuan.

“Pihak kerajaan boleh sahaja untuk melakukan apa-apa tindakan dan sekiranya gagal mencapai tahap imuniti yang diinginkan.

“Justeru itu, semua lapisan masyarakat perlu memberi kerjasama bagi menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dilaksanakan sekarang,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/5/2021

- Advertisement -