Budak dijangkiti Covid-19 di Kelantan membimbang

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kadar jangkitan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak bawah 12 tahun di Kelantan dianggap cukup membimbangkan sekarang.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin berkata, setakat ini terdapat 18 peratus kanak-kanak terkena jangkitan tersebut.

“Tetapi kita melihat antara yang menjadi penyumbang kepada jangkitan tersebut ialah ibu bapa yang terkena jangkitan dan membawa pulang ke rumah.

“Selain itu, sikap tidak cakna ibu bapa yang sering kali membawa keluar anak-anak mereka berjalan-jalan turut dikesan menjadi punca kepada jangkitan itu,” katanya selepas turun padang meninjau proses suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Majlis Daerah Ketereh, di sini, hari ini.

Beliau juga memberitahu jangkitan Covid-19 tertinggi melibatkan golongan kanak-kanak dikesan berlaku di jajahan Kota Bharu, Pasir Mas dan Tumpat.

Justeru itu tegasnya, ibu bapa disarankan supaya mengambil serius perkara terhadap perkara tersebut dengan tidak mendedahkan anak-anak kepada risiko jangkitan.

Beliau turut berharap masyarakat memberi kerjasama mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan supaya dapat memutuskan rantaian Covid-19 sekaligus wabak berjaya dikurangkan.

“Patuhilah dan ingatlah kita masih belum menang melawan Covid-19,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/5/2021

- Advertisement -