Perlekeh Agong tindakan biadab, keterlaluan, melampau!

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan biadab dan menghasut rakyat supaya menghina Raja dan Sultan adalah keterlaluan dan melampaui batas kerana rakyat negara ini diasuh dengan kesopanan dan kesusilaan serta kesetiaan kepada Raja dan Negara.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Dato’ Ahmad Amzad Hashim berkata, tindakan tersebut sangat tidak bertanggungjawab yang disifatkannya menunggang sentimen rakyat dalam keadaan berdepan tekanan hidup kini.

“Ia semata-mata untuk menghasut kebencian dan mencari keuntungan politik. Sensitiviti rakyat memang mudah dimanipulasi oleh perakus kuasa yang dalam fikiran mereka mempolitikkan segala benda.

- Advertisement -

“Sedangkan kerajaan sedaya upaya berusaha untuk menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat, mengaturkan bantuan kebajikan, mempertahankan kestabilan ekonomi dan survival perniagaan termasuk industri kecil dan sederhana.

“Walaupun tindakan kerajaan itu tidak popular atau ada yang rakyat tidak suka, tetapi terpaksa diambil demi nyawa rakyat walaupun akibatnya rakyat jadi marah, hilang sokongan. Yang penting rakyat selamat. Kerajaan pastikan nyawa terjaga,” ujar beliau.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu memberi reaksi demikian berikutan tindakan melampau seorang individu yang dikenali antara jurucakap sebuah parti politik dan pemimpin tertentu bercelupar terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Menurut kenyataan pihak polis, lelaki berusia 40-an itu bagaimanapun telah ditangkap dan direman selama dua hari untuk siasatan setelah menerima laporan mengenai perbuatan keterlaluan tersebut.

Vokal secara bebas lelaki tersebut bukan baharu di mana sebelum ini juga sering lantang mengecam kerajaan, namun tindakan mutakhirnya lebih ketara memperlekeh dan menghina Yang di-Pertuan Agong. – HARAKAHDAILY 30/5/2021

- Advertisement -