MAIK sumbang RM100,000 bantu petugas di pusat vaksin

- Advertisement -

KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menyumbang kira-kira RM100,000 bagi kegunaan barisan hadapan dan petugas di Pusat Pemberian Vaksin di seluruh negeri ini.

- Advertisement -

Timbalan Yang Dipertuanya, Zulkifle Ab Rahman berkata, setiap daerah akan menerima RM10,000 dalam bentuk 500 pelitup muka, 200 botol cecair pembasmi kuman, 220 pelitup muka fabrik dan 500 kotak air minuman dan pek makanan.

Beliau berkata, sumbangan tersebut diambil daripada Dana Awam Baitulmal sebagai usaha dan kempen agensi tersebut untuk menyemarakkan lagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang kini dilaksana bagi fasa kedua.

“Sumbangan ini merupakan hasrat kita untuk membantu dan memberi sokongan Ketua Daerah dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam melancarkan kempen pendaftaran dan galakan rakyat untuk menerima suntikan Covid-19.

“Buat permulaan kita serahkan kepada Pasir Mas dahulu, kemudian diikuti oleh jajahan lain, kita peruntukan kira-kira RM100,000 untuk diedarkan kepada Pusat Pemberian Vaksin di seluruh Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis penyerahan barangan keperluan barisan hadapan bagi kegunaan Pusat Pemberian Vaksin bagi Daerah Pasir Mas di lobi MAIK, Kompleks Balai Islam, hari ini.

Penyerahan sumbangan itu disempurnakan Zulkifle kepada Ketua Jajahan Pasir Mas, Hazmi Abdul Hamid sebagai permulaan sebelum diteruskan kepada jajahan lain.

MAIK juga katanya, sentiasa maklum terhadap perkembangan berkaitan penularan wabak Covid-19 di Kelantan termasuk keperluan barisan hadapan yang bertugas di lapangan ketika situasi penyakit itu semakin membimbangkan.

“Kita juga meminta rakyat untuk terus mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan, ketika mana kes harian positif Covid-19 di negeri ini terus meningkat sehingga lebih 900 orang pada semalam.

“Kita juga menyeru orang ramai mendaftar penerima vaksin dan menerima suntikan jika dipanggil, tanggungjawab ini bukan sahaja ikhtiar untuk lindungi diri sahaja, malah menyelamatkan komuniti kita daripada Covid-19,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/5/2021

- Advertisement -