PERTUBUHAN Intelektual Negara (PINTAR) bersetuju dan mendukung teguh kenyataan yang dikeluarkan oleh YAB Perdana Menteri pada 28 Mei lalu yang menyentuh mengenai penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi (total lockdown) mulai 1 Jun hingga 14 Jun 2021. Kami percaya keputusan ini adalah keputusan yang amat sukar bagi kerajaan kerana perlu memikirkan soal kehidupan rakyat yang perlu mencari rezeki untuk kelangsungan hidup masing-masing.
Namun begitu, keputusan ini amat perlu diambil kerana melihat kepada ancaman kesihatan yang lebih besar, yang mana ia boleh memudaratkan nyawa rakyat sekiranya tidak dibendung dan menyebabkan sistem kesihatan negara berada dalam keadaan yang tidak menentu. Sebelum keadaan menjadi lebih parah dan tidak terkawal, maka tindakan untuk melakukan total lockdown ini adalah sesuatu yang mesti dilakukan. Kami memahami keadaan ini dan kita mesti bersama dalam mencegah jangkitan COVID-19.
Kita tidak mahu menjadi seperti apa yang pernah berlaku kepada negara-negara lain seperti umpamanya Itali dan Sepanyol yang pernah mengalami jangkitan dan kematian antara yang tertinggi di Eropah. Begitu juga kita tidak mahu menjadi seperti apa yang berlaku di India di mana jangkitan COVID-19 terlalu tinggi dan menyebabkan sistem kesihatan mereka tidak mampu untuk menangani kes sehinggakan bekalan oksigen tidak mencukupi.
Cukuplah merenung dan melihat kepada beberapa contoh itu, pasti akan membuka mata kita semua untuk lebih berhati-hati dalam berdepan dengan pandemik ini. Ingin kami tegaskan, amatlah tidak wajar melontarkan kata-kata kesat kepada YAB Perdana Menteri atau kepada pihak Kerajaan kerana itulah keputusan yang terbaik untuk beliau lakukan dalam keadaan sekarang.
Tanda pagar – tanda pagar seperti ‘Kerajaan Gagal’ atau ‘Kerajaan Bodoh’ adalah keterlaluan, tidak betul dan tidak akan membantu kerana siapa sekalipun yang menjadi Perdana Menteri atau parti mana sekalipun yang menjadi Kerajaan, jumlah kes harian COVID-19 tetap tidak akan menurun jika mentaliti rakyat yang masih terus-terusan tidak patuh kepada SOP tidak berubah.
Sehubungan itu, kami ingin mengulangi saranan YAB Perdana Menteri sebelum ini bahawa di samping total lockdown, rakyat sendiri perlulah mempunyai kesedaran tinggi untuk membuat pematuhan SOP kendiri kerana apa pun usaha yang dibuat tidak akan berkesan jika rakyat tidak patuh kepada SOP ditetapkan kerana penguatkuasa tidak mampu mengawasi seluruh rakyat.
Kami tidak mahu lagi mendengar selepas ini ada lagi laporan keluar mengenai mereka yang senyap-senyap merentas daerah dan merentas negeri, senyap-senyap membuat perhimpunan sosial, senyap-senyap beribadah beramai-ramai, senyap-senyap berziarah rumah ke rumah, senyap-senyap dine in, senyap-senyap lari dari tempat isolasi dan pelbagai aktiviti lagi.
Selain daripada kawalan jangkitan melalui total lockdown dan PKP, perlu disedari bahawa Kerajaan sedang menjalankan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dengan kadar vaksinasi lebih 100 ribu – 150 ribu sehari. Bekalan vaksin telah berjaya dijamin melebihi populasi rakyat. Mereka perlu memanfaatkan program ini yang menjadi ‘game-changer’ untuk mengatasi wabak.
Kami juga menyambut baik jaminan YAB Perdana Menteri bahawa urusan vaksinasi akan dipercepat dan diperluaskan segera supaya sasaran imuniti kelompok atau 80 peratus suntikan vaksin sebelum akhir tahun ini akan dapat dicapai seperti dirancang di mana ini semua memerlukan kerjasama semua, termasuk bagi memastikan tiada yang lari dari divaksin.
Dalam masa yang sama, kami turut mengecam tindakan mana-mana individu atau parti politik yang mempertikaikan tindakan pihak Kerajaan menangani pandemik COVID-19 ini, apatah lagi jika ada yang sanggup menghina KBDYMM Yang di-Pertuan Agong dalam media-media sosial kerana ini adalah tindakan biadab dan wajar dikenakan tindakan yang setimpal.
Terdapat juga mereka yang suka mempersendakan ilmuan agama atau Mufti yang menasihatkan mengenai supaya tidak melanggar peraturan SOP seperti nasihat tidak rentas negeri. Oleh kerana keghairahan ingin menyambut perayaan, nasihat mereka dipermainkan oleh netizen yang tidak bertanggungjawab sehingga mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya. Apabila nasihat-nasihat ilmuan ini tidak diikuti, maka itulah yang terjadi sehingga peningkatan kes jangkitan COVID-19 sangat tinggi.
Oleh yang demikian, kami sekali lagi menyeru kepada semua golongan supaya mematuhi apa yang telah diputuskan oleh pihak Kerajaan melalui nasihat agensi-agensi dan pakar-pakar yang terlibat bagi kita memastikan pandemik ini dapat dikawal dengan segera.
Dari aspek bantuan sara hidup kepada mereka yang terjejas, kami percaya bahawa pihak Kerajaan akan prihatin kepada mereka yang memerlukan. Dalam pada itu, syabas diucapkan kerana terdapat agensi-agensi termasuk agensi agama negeri seperti MAIWP yang telah mengumumkan pakej bantuan kepada golongan sasar dalam usaha membantu pihak Kerajaan meringankan bebanan rakyat dalam tempoh sukar ini.
Sama-samalah kita mengenepikan sentimen kepartian dan memberikan sokongan tidak berbelah-bahagi kepada setiap tindakan, arahan dan larangan yang dibuat oleh pihak kerajaan. Kita pernah berjaya melandaikan keluk jangkitan COVID-19 dan dengan kerjasama dan iltizam semua pihak kita akan sekali lagi mampu melakukannya.
Sekian, terima kasih.
Yang benar,
PROFESOR DR. MOHD ROSLAN MOHD NOR
Presiden PINTAR – HARAKAHDAILY 30/5/2021