Perjuangan tidak bernoktah, sokongan tidak bermusim

- Advertisement -

SUKACITA saya ingin berkongsi laporan yang disampaikan oleh Sekretariat #Aid4Palestine bahawa sumbangan yang terkumpul telah berjaya disalurkan oleh sukarelawan yang sedang bertugas di lapangan kepada penduduk Gaza yang terjejas.

Difahamkan sebaik sahaja kutipan telah mencecah RM1 juta dalam tempoh 24 jam, pihak Sekretariat #Aid4Palestine telah menyalurkan bantuan awal berjumlah RM500,000 pada 22 Mei 2021 dalam bentuk keperluan makanan dan perubatan untuk diagihkan segera kepada penduduk Gaza yang sedang berlindung semasa tempoh serangan.

- Advertisement -

Dengan jumlah kutipan Fasa 1 yang mencecah RM16.8 juta, pihak Sekretariat #Aid4Palestine telah memperuntukkan RM4 juta bagi tujuan keperluan segera (adhoc) kepada penduduk yang pulang ke rumah daripada tempat perlindungan, manakala peruntukan segera akan disalurkan bagi tujuan keperluan jangka pendek dan bantuan tunai bagi membantu kelangsungan hidup penduduk Gaza dalam bentuk kebajikan, kesihatan, kediaman dan pendidikan.

Justeru bagi tujuan mengenalpasti, menilai, menyelaras, dan melaporkan penyaluran bantuan di lapangan, sukacita saya mengiktiraf peranan ‘Duta Muhibbah #Aid4Palestine (Goodwill Ambassador)’ iaitu (1) Saudara Muhammad Nadir Kamaruzaman, CEO Pertubuhan Cinta Gaza Malaysia; dan (2) Saudara Abu Ayesh An Najjar, Pengarah Hubungan Antarabangsa, Kementerian Pendidikan Gaza; yang telah pun bertugas di lapangan untuk membantu usaha-usaha kebajikan dan pembangunan semula di Semenanjung Gaza.

Segala perkembangan terkini di lapangan akan dilaporkan dari masa ke masa oleh pihak Sekretariat #Aid4Palestine, sebuah inisiatif usahasama lebih 200 NGO di Malaysia bagi menggerakkan misi kesedaran, kebersamaan dan bantuan kemanusiaan ke Palestin.

Saya mengucapkan terima kasih kepada para penyumbang dan dermawan yang menginfaqkan harta untuk saudara Islam di Palestin, sehingga ada yang menjual lembu, kerbau semata-mata mahu menyumbang termasuk tidak ketinggalan kalangan fakir miskin, pekebun, penoreh dan peniaga jalanan. Palestin, perjuangan tidak bernoktah, sokongan tidak bermusim.

#Aid4Palestine

DATO’ SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS – HARAKAHDAILY 29/5/2021

- Advertisement -