Terpukul oleh ‘scammer’ dan ‘kepala otak dia’

- Advertisement -

SERONOK juga tengok drama vaksin Pulau Pinang. Tak semena-mena ada orang dari Sabah yang nak bagi derma vaksin sampai dua juta. Baik sungguh dermawan itu. Cuma saya teringat pepatah. ‘Kuman seberang laut dia nampak’. Tidakkah COVID-19 dah jadi gajah di Sabah sendiri?

Punya la marah Kerajaan DAP Pulau Pinang sampaikan bekas Menteri Kewangan memantulkan kalimah ‘kepala otak dia’ yang saya jelas ditujukan kepada Kerajaan Persekutuan. Kesannya ramai la belatuk maya yang mengutuk Kerajaan Persekutuan.

- Advertisement -

Khairi Jamaludin sebagai Menteri bertanggungjawab lantas memberi pencerahan bahawa siasatan pihak kementerian mendapati tiada permintaan atau tempahan vaksin dari pembekal. Vaksin bukan barang pasar alam yang boleh dibeli di tepi jalan. Tidak juga barang yang boleh dibeli di Lazada atau Shoppe.

Khairi mendedahkan bahawa Kerajaan Pulau Pinang telah ‘terjerat’ dengan scammer. Jawapan ini menyebabkan bos besar PH yang juga pemegang jawatan Perdana Menteri tertunggu-tunggu membuat serangan balas. Jawapan Anwar menunjukkan Kerajaan Pulau Pinang tidak lagi mampu bertahan dan Anwar perlu jadi general perang.

Jawapan Anwar tidak menjawab sepenuhnya penjelasan Khairi sebaliknya meluaskan perbincangan kepada topik yang lebih mengelirukan. Bagi yang mengikuti gaya politik Anwar tentu saja memahami kaedah jawapan beliau. Malangnya serangan Anwar dijawab oleh Khairi secara langsung satu persatu. Khairi juga mendedahkan Anwar tidak hadir dalam taklimat terbuka kepada semua MP.

Kerajaan Pulau Pinang melalui Ketua Menteri terpaksa memohon maaf kerana tahu mereka telah di scam. Beliau memohon maaf kerana menimbulkan isu tersebut dan berjanji Kerajaan Pulau Pinang akan mengeluarkan peruntukan untuk membeli vaksin mengikut jalan yang betul.

Saya tidak mahu mengulas apa sebenarnya yang berlaku di sebalik isu vaksin ini. Saya masih mencari jawapan bagaimana mungkin sebuah syarikat di Sabah sangat bermurah hati dengan derma sebesar itu kepada Pulau Pinang hingga lupa negeri Sabah yang lebih terkesan lagi. Biarlah ianya menjadi misteri kerana Ketua Menteri Pulau Pinang telahpun mengundur diri dengan permohonan maaf. Namun saya belum mendengar permohonan maaf dari kepala otak dia lagi.

FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha Politik
Pesuruhjaya PAS Perak – HARAKAHDAILY 24/5/2021

- Advertisement -