Pesta Angin Timur Perlis sasar 30,000 penonton

- Advertisement -

KANGAR: Pesta Angin Timur (PAT) Perlis pada kali kesembilan menyasarkan 30,000 penonton yang akan diadakan pada 4 hingga 5 Jun ini.

Bagaimanapun PAT tahun ini akan dilaksanakan secara atas talian ekoran situasi pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia sekarang termasuk Malaysia.

Menteri Besar Perlis, Dato’ Seri Azlan Man berkata, program itu tidak dapat dilaksanakan secara fizikal seperti tahun-tahun sebelumnya.

- Advertisement -

“Semua aktiviti yang diadakan adalah secara rakaman atau langsung akan dipancarkan secara Live Streaming menerusi media sosial Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN)),” katanya selepas pelancaran PAT@online secara atas talian di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis hari ini.

Penganjuran PAT diadakan dengan kerjasama JKKN, swasta, NGO dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Azlan juga berkata, PAT diadakan walaupun secara atas talian bagi mempromosikan aktiviti kebudayaan tempatan sebagai salah satu produk industri pelancongan di negeri itu.

“Aktiviti-aktiviti yang akan diadakan seperti tahun sebelum ini cuma pada kali ini dibuat secara rakaman dan disiarkan secara atas talian,” ujarnya.

Antaranya persembahan gendang dari pelbagai kaum seperti Gendang India, Gendang Cina, Gendang Siam dan Gendang Hadrah.

Selain itu demonstrasi pembuatan wan helang, penanaman pokok harummanis dan pembuatan makanan tradisional negeri. – HARAKAHDAILY 20/5/2021

- Advertisement -