Patuhi SOP kaedah berkesan tangani Covid-19

Datuk Dr Zaini Hussin
- Advertisement -

KOTA BHARU: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dicadang dilaksanakan di Terusan Limbat susulan peningkatan mendadak kes Covid-19 di lokaliti tersebut.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Dato’ Dr Zaini Hussin bagaimanapun berkata, pihaknya mencadangkan perkara itu kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya ia segera dilaksanakan.

Katanya petugas Jabatan Kesihatan melaksanakan ujian saringan di mana terdapat sebanyak 31 peratus kes positif Covid-19 direkodkan di lokasi itu setakat ini.

- Advertisement -

“Kita difahamkan jumlah penduduk di sekitar kampung tersebut seramai 1,372 orang dengan bilangan rumah sebanyak 973.

“Kita mencadangkan kepada MKN agar mempertimbang untuk melaksanakan PKPD di kawasan itu bagi mengawal serta menyekat penularan dengan cepat dan berkesan,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Khas Negeri (JKKN) di Kompleks Kota Darul Naim, di sini hari ini.

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob pula berharap orang ramai mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan MKN.

“Kerana dengan mematuhi SOP adalah salah satu cara yang berkesan dan baik dapat dilakukan, di samping kita juga perlu berdoa dan memohon agar pendemik wabak Covid-19 dapat dilandaikan,” katanya.

Sementara itu, kes harian Covid-19 di Kelantan hari ini sebanyak 426 kes dan menjadikan jumlah kumulatif positif sebanyak 20,840 kes.

Anggota Exco kerajaan negeri Dr Izani Husin berkata, terdapat satu kluster baharu direkodkan di negeri tersebut hari ini.

“Kadar kebolehjangkitan (Rt) di Kelantan ialah 0.96 manakala Rt nasional iaitu 1.10. Jumlah kes harian positif di Malaysia hari ini merupakan tertinggi pernah dicatat iaitu sebanyak 6,806 kes,” katanya.

Kata beliau orang ramai hendaklah mematuhi SOP yang ditetapkan demi kebaikan bersama kerana virus Covid-19 sudah berada dalam komuniti.

“Tubik rumah pakai mask, kelik rumah basuh tangan,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 20/5/2021

- Advertisement -