KOTA BHARU: Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) turut melahirkan perasaan sedih terhadap penduduk Palestin di Gaza yang menjadi mangsa kezaliman zionis Israel.
Pengerusi DHPP Kelantan Lim Guan Seng berkata, penduduk Palestin di Gaza menjadi kerangkusan tentera zionis Israel dengan menyerang mereka tanpa perikemanusiaan.
“Apa yang berlaku di Gaza begitu menyedihkan sekali. Setiap kali akhir bulan Ramadan dan menjelang sambutan Aidilfitri tentera zionis Israel menyerang umat Islam di sana.
“Kami amat bersimpati dengan nasib mereka di sana terutama orang-orang awam yang tidak berdosa, kanak-kanak yang turut terkena bom dan bedilan tentera Israel,” katanya di sini.
Oleh itu kata beliau DHPP tidak boleh berdiam diri dan turut sama membantu dengan menghulur sumbangan kewangan kepada tabung Aid4Palestine.
Beliau berkata, DHPP turut terpanggil untuk membantu mereka atas dasar kemanusiaan dengan mengutip derma dalam kalangan ahli DHPP.
“Sumbangan ahli-ahli ahli DHPP negeri dan DHPP Kota Bharu sebanyak RM3,500 berjaya dikumpul setakat ini untuk membantu rakyat Palestin.
“Derma juga disumbang masyarakat Tionghoa. Sumbangan itu akan diserah kepada PAS Kota Bharu untuk mengisi tabung Aid4Palestine,” ujarnya.
Beliau juga berharap Malaysia menyatakan pendirian tegas bagi menyelesaikan krisis kemanusiaan yang berlaku di Palestin dengan mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa segera bertindak tegas. – HARAKAHDAILY 20/5/2021