Sempadan jadi tempat transit barangan kawalan

- Advertisement -

TANAH MERAH: Dua lori dipercayai terlibat dengan sindiket penyeludupan minyak masak bersubsidi ditahan pihak berkuasa berhampiran Kampung Ayer Batu, Panglima Bayu di sini kelmarin.

- Advertisement -

Minyak masak berkenaan yang juga merupakan barangan kawalan subsidi dipercayai mahu dibawa ke sempadan negara jiran.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan Azanizam Affendi Juri berkata, pihaknya mengekori sebuah lori bermula jam 4 petang dari Gua Musang menuju ke kawasan sempadan negara.

Katanya, selepas hampir dua jam pasukan operasi menahan dua lori seberat tiga tan bersama pemandunya di lokasi tersebut.

“Pemeriksaan dijalankan ke atas lori pertama dan menemui 2,890 kilogram minyak masak paket bersubsidi, manakala lori kedua 2,550 kg juga menemui minyak masak.

“Keseluruhan minyak masak paket satu kg bersubsidi yang disita dianggar sebanyak 5,440 kilogram bernilai RM13,600. Dua lori terbabit yang bernilai RM100,000 turut dirampas,” katanya pada satu kenyataan semalam.

Turut serta pada operasi tersebut Pasukan Polis Marin, Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor.

Azanizam juga berkata, rampasan itu berjaya dilakukan hasil risikan selama dua minggu di sebuah pangkalan haram di sempadan negara.

Kata beliau kawasan itu dipercayai menjadi transit sementara barangan kawalan sebelum diseludup ke negara jiran.

Menurutnya, siasatan awal terhadap salah seorang pemandu lori yang berusia 50-an itu mengaku menerima upah sebanyak RM1.50 setiap kotak minyak masak bersubsidi dengan anggaran RM255 bagi setiap perjalanan.

“Bagi aktiviti penyeludupan minyak masak, penyeludup akan membayar upah kepada pemandu lori untuk mengambil barang kawalan dari pemborong dan pembekal sebelum ia dibawa ke lokasi transit untuk diseludup,” katanya.

Kedua-dua pemandu lori berkenaan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. – HARAKAHDAILY 20/5/2021

- Advertisement -