Tanah: Jangan sampai jadi Palestin

- Advertisement -

AKIBAT perang Arab-Israel pertama dalam tahun 1948 hingga 1949, lebih 750,000 dari 1.2 juta penduduk Arab yang tinggal di Palestin sebelum peperangan telah tersingkir dari kediaman mereka. Lebih 400 penempatan Arab telah lenyap atau penduduknya telah menjadi pelarian. Israel pula telah mengekalkan wilayah yang diperuntukkan kepada mereka ketika negara haram itu diwujudkan di samping merampas 60 peratus dari wilayah yang diperuntukkan kepada penduduk Arab.

Hasrat Yahudi untuk menguasai tanah-tanah Arab tercapai akibat peperangan tersebut dan juga tindakan ganas oleh kumpulan-kumpulan pengganas Zionis. Di antara kejadian yang paling kejam adalah pembunuhan beramai-ramai di perkampungan Deir Yassin pada 9 April 1948. 107 penduduk termasuk wanita dan kanak-kanak telah terbunuh akibat tindakan kumpulan-kumpulan pengganas Irgun, Lehi dan Haganah.

- Advertisement -

Sebelum peperangan itu Zionis telah gagal menguasai tanah-tanah di Palestin melalui urusan jual-beli kerana pada Muktamar Ulamak Palestin yang pertama pada 25 Januari 1935 satu fatwa telah dikeluarkan yang mengharamkan penjualan tanah-tanah Arab kepada Yahudi.

Yahudi akan sentiasa menggunakan apa sahaja cara sekalipun untuk menghalau umat Islam dari tanah mereka. Dalam konflik terkini, 4 dari 70 penduduk Arab yang terlibat di kejiranan Syeikh Jarrah telah memfailkan rayuan di Mahkamah Agung Israel terhadap keputusan Mahkamah Rendah yang mengusir mereka keluar dari tanah mereka. Walhal mereka telah menetap di situ sejak 1956.

Satu contoh lagi adalah Tebing Barat yang dirampas oleh Israel dari Jordan pada Peperangan 6 Hari tahun 1967. Sepanjang 50 tahun pendudukan Israel, sekurang-kurangnya 230 penempatan Yahudi telah diwujudkan dengan hampir 400,000 peneroka Yahudi.

Tanah adalah komoditi yang penting di dalam mana-mana negara. Mereka yang menguasai tanah akan menguasai politik di negara tersebut. Bukan sahaja di Israel tetapi terdapat ramai umat Islam di dunia yang tersisih atau tersingkir dari tanah-tanah mereka. Namun yang paling menyedihkan, mereka menyerahkan tanah mereka bukan kerana ancaman muncung senjata atau kereta kebal tetapi kerana diumpan dengan wang ringgit atau kerana kesempitan hidup.

Contohnya di negara kita sedikit demi sedikit kawasan majoriti umat Islam lenyap ditelan pembangunan. Kawasan-kawasan yang dahulunya kawasan pertanian menjadi kawasan perumahan. Kadang-kala perumahan yang hanya mampu dimiliki oleh segelintir umat Islam dan akhirnya komposisi penduduk tidak lagi memihak kepada mereka.

Ada yang mendakwa keadaan yang berlaku di negara kita adalah akibat umat Islam yang begitu mudah menjual tanah mereka. Umat Islam tidak boleh menyalahkan orang lain. Justeru itu kerajaan perlu memainkan peranan mereka. Kerajaan boleh bertindak dengan 2 cara,

1. Mewujudkan pelan jangka panjang untuk memajukan tanah-tanah milik umat Islam dan tidak membiarkan ia terlepas kepada pemaju-pemaju swasta.

Ini penting bagi tanah-tanah berstatus pertanian yang statusnya ditukar kepada perumahan atau komersial di dalam Rancangan Tempatan (RT).

Apabila usia ibu bapa telah meningkat atau mereka telah meninggal dunia maka adalah lebih mudah untuk anak-anak menjual tanah yang diwarisi itu.

Oleh yang demikian, kerajaan boleh mengawal pembangunan-penbangunan tersebut secara langsung dan tidak membiarkan pemaju-pemaju membangunkannya.

2. Mewujudkan satu badan untuk membeli hartanah umat Islam agar tidak terlepas kepada orang lain.

Kerajaan tidak boleh menghalang umat Islam menjual hartanah untuk selama-lamanya kerana terdapat mereka yang menghadapi kesempitan kewangan. Terdapat kerajaan negeri yang menghalang lot-lot Bumiputera dijual kepada bukan-Bumiputera tetapi kebenaran akan tetap diberikan setelah pemohon merayu beberapa kali. Di antara alasan-alasan mereka adalah untuk membiayai rawatan penyakit kritikal atau kos pendidikan anak di luar negara.

Adakah isu tanah ini isu perkauman? Menurut sebuah akhbar harian pada 24 Jun 2018, peratus pemilikan Bumiputera adalah sekitar 21 peratus. Ada sumber lain meletakkannya sebagai 24 peratus. Peratus ini adalah terlalu rendah berbanding dengan peratus Bumiputera yang melebihi 60 peratus penduduk Malaysia. Dengan peratus yang rendah ini tidak wajar bagi sesiapa untuk mempertikaikan sebarang usaha untuk meningkatkan pemilikan Bumiputera ini atau menghalang peratus pemilikan ini dari menguncup.

Hari ini masyarakat Malaysia sedang menyatakan kemarahan terhadap tindakan ganas regim Yahudi yang mengorbankan begitu ramai umat Islam. Tetapi kita perlu juga mengambil iktibar dari sejarah umat Islam di sana dan bukan sekadar memberi tumpuan kepada perkembangan semasa sahaja. Di antaranya adalah masalah penguasaan tanah. Perkara yang sama boleh berlaku di negara kita jika tiada tindakan yang bersungguh-sungguh dari mereka yang berkuasa. Ketika kita melihat jauh di seberang laut jangan sampai kampung halaman kita mengalami nasib yang sama.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan Negeri Selangor (REACH) – HARAKAHDAILY 19/5/2021

- Advertisement -