Enam daerah di Selangor kena PKP mulai Khamis

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Enam daripada sembilan daerah di Selangor diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa 6 Mei (Khamis) hingga 17 Mei.

Keputusan itu dimaklumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Seri Ismail Sabri setelah mengambil kira peningkatan kes Covid-19 yang mendadak serta bagi memutuskan penularan jangkitan Covid-19.

- Advertisement -

“Enam daerah yang terlibat ialah Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang, yang mana negeri Selangor telah mencatatkan jumlah kes harian yang tinggi sejak 20 April sehingga 4 Mei 2021,” katanya dalam sidang media harian Covid-19 di sini, hari ini.

Menurutnya, pergerakan merentas negeri dan daerah bagi enam daerah itu tidak dibenarkan kecuali urusan kecemasan, kematian dan kerja.

Ismail memaklumkan, tiga lagi daerah iaitu Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor masih berkuat kuasa Perintah Kawalan pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Semua peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) adalah sama seperti pelaksanaan PKP yang dilaksanakan di Kelantan dan lima daerah di Kedah,” ujarnya.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, semua aktiviti ekonomi masih dibenarkan di enam kawasan berkenaan dengan pelaksanaan SOP yang ketat manakala aktiviti sosial tidak dibenarkan.

Ismail berkata, keputusan melaksanakan PKP di enam daerah tersebut dibuat selepas meneliti pembentangan kerajaan negeri dan merujuk kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta data Pengecaman Lokasi Panas untuk Libat Urus Dinamik (HIDE) oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Dalam pada itu, Ismail berkata, premis makanan seperti restoran, food truck, penjaja dan kiosk di kawasan PKP hanya akan dibenarkan beroperasi dari 6 pagi sehingga 12 malam.

“Untuk operasi pasar harian, pasar tani, pasar awam dan pasar minggu dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 2 petang manakala bazar Ramadan di kawasan PKP masih dibenarkan beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Selain itu, kedai runcit, serbaneka dan keperluan harian serta farmasi juga dibenarkan beroperasi dari 6 pagi sehingga 10 malam.

“Stesen minyak dibenarkan beroperasi dari 6 pagi sehingga 10 malam, bagaimanapun stesen minyak di lebuh raya dibenarkan beroperasi 24 jam.

“Selain itu, hospital, klinik dan makmal perubatan boleh beroperasi seperti biasa. Untuk operasi pasar harian, pasar tani, pasar awam dan pasar minggu dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 2 petang,” katanya.

Ismail Sabri berkata, bazar Ramadan di kawasan PKP masih dibenarkan beroperasi mengikut SOP ketat.

“Bagaimanapun, keputusan untuk meneruskan atau menutup operasi bazar tertakluk di bawah kuasa Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya.

Bagi mengetahui SOP lanjut berhubung PKP di enam daerah ini termasuk mengetahui apa yang boleh dilaksanakan dan dilarang sepanjang PKP, orang ramai boleh mengakses laman sesawang MKN di www.mkn.gov.my. – HARAKAHDAILY 4/5/2021

- Advertisement -