Tabung #Aid4Palestine terkumpul kini RM6,521,554

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tabung #Aid4Palestine telah berjaya membuat kutipan berjumlah RM6,521,554 yang diisytiharkan pihak sekretariatnya setakat kutipan hingga hari keenam semalam yang diumumkan jam 9 pagi ini.

Jumlah tersebut direkodkan daripada akaun mewakili semua PAS Negeri dan Dewan serta entitinya iaitu sebanyak RM5,001,924, juga gabungan 124 Badan Bukan Kerajaan (NGO) bersama #Aid4Palestin berjumlah RM1,519,612.

PAS Negeri Kedah masih menjadi penyumbang terbesar setakat ini dengan jumlah RM1,571,363 dan masih melangsungkan kutipan walaupun telah melakukan serahan rasmi dalam satu majlis di Alor Setar, semalam.

Ini diikuti PAS Terengganu sebanyak RM1,521,235 dan PAS Pahang (RM530,579), PAS Johor (RM187,974), PAS Pulau Pinang (RM141,600), PAS Melaka (RM60,000), PAS Wilayah Persekutuan (RM58,950), PAS Selangor (RM58,810), PAS Negeri Sembilan (RM42,011) dan PAS Sarawak (RM41,010).

PAS Perlis (RM28,016) dan PAS Sabah (RM15,965) serta Dewan Pemuda PAS (RM120,000) dan Dewan Muslimat PAS (RM54,000), manakala PAS Negeri Perak dan PAS Kelantan serta Dewan Ulamak PAS masih menggerakkan kutipan sebelum memuktamadkan jumlah rasmi untuk diumumkan kemudian.

Kutipan yang masih berlangsung ini juga menerima sumbangan terus ke akaun PASRelief berjumlah RM570,411 setakat semalam dan uniknya juga kempen kali ini mendapat sambutan hangat menerusi pemberian aset-aset oleh beberapa individu untuk dibuka bidaan bagi sumbangan sepenuhnya kepada Tabung #Aid4Palestine.

Manakala gabungan di bawah #Aid4Palestin yang bermula dengan 42 NGO meningkat mendadak kepada 124 NGO setakat petang semalam dan mensasarkan kutipan sumbangan terkumpul sebanyak RM2 juta.

Kempen dan penubuhan Sekretariat #Aid4Palestine ini telah diumumkan oleh Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang juga Presiden PAS pada 12 Mei lalu.

Dipengerusikan Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi, #Aid4Palestine adalah bagi mengambil tindakan proaktif dan segera membantu perjuangan Palestin menerusi kempen kesedaran dan penyelarasan kutipan dana melalui kaedah ‘crowfunding‘.

“Intifada di bumi Palestin adalah lambang kesatuan dan kebangkitan umat Islam seluruhnya melangkaui batas sempadan negara dan perbezaan mazhab, demi membela keadilan dan hak rakyat Palestin,” ujar Tuan Guru Abdul Hadi.

Katanya, selain daripada terus berdoa dan memberikan tekanan kepada rejim Israel melalui pelbagai cara, umat Islam juga boleh membantu perjuangan rakyat Palestin dengan cara memberikan infaq dan sumbangan.

Beliau meletakkan sasaran awal kutipan RM1 juta sebelum 30 Syawal, bagaimanapun menerima sambutan memberangsangkan setakat ini sekali gus sekretariat telah mengubah sasaran kepada RM10 juta.

Timbalan Pengerusi II #Aid4Palestine, Ustaz Mohd Yusni Md Piah berkata, antara menjadi perhatian adalah sumbangan tinggi yang diberikan dari daerah dikenali dengan kemiskinannya iaitu dari PAS Kawasan Baling.

Menurut beliau, walaupun majoriti penduduk daerah tersebut adalah dalam kalangan penoreh getah, pengait kelapa sawit, pesawah padi dan nelayan sungai, tetapi menjadi penyumbang terbesar dengan jumlah hampir RM200,000 setakat kelmarin.

“Malah, rata-rata majoriti orang PAS secara umumnya bukan orang kaya atau mempunyai gaji tetap. Lebih-lebih lagi daerah seperti Baling dan Sik serta banyak daerah seumpama di seluruh negara yang sepertinya.

“Tetapi mengapa mereka sanggup mengeluarkan wang sebanyak itu yang kita faham sebenarnya mereka sendiri lebih memerlukan? Inilah petunjuk semangat perjuangan Islam yang berasaskan akidah, keyakinan iman, amal ibadah dan persaudaraan.

“Ahli-ahli dan pimpinan PAS menerima tarbiyah, setidak-tidaknya memahami bahawa sumbangan itu adalah amal jariah untuk kehidupannya yang abadi di syurga selepas hitungan Padang Mahsyar.

“Keyakinan kami juga dengan sumbangan ini adalah kekuatan dan satu bentuk bantuan untuk saudara seagama di Palestin sabar menghadapi ujian dahsyat ini serta mereka mampu suatu hari nanti mengalahkan Zionis Israel yang serba lengkap peralatannya.

“Perkara ini bukan keyakinan kosong, tetapi dari keteguhan iman dari suntikan hadis-hadis Nabi S.A.W yang menyatakan janji Allah mengenai Palestin di akhir zaman,” ujarnya yang juga Pengarah Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief).

Beliau terus menyeru agar sumbangan dibuat menerusi akaun Maybank 5640 7061 4481 (Tabung Kemanusiaan PASRelief) atau https://pasrelief.onpay.my/order/form/gaza dengan rujukan ‘Aid4Palestine’.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh hubungi talian ‘hotline’ 011-2077 5802 atau layari Facebook rasmi PASRelief di https://web.facebook.com/pasrelieff. – HARAKAHDAILY 19/5/2021

- Advertisement -
- Advertisement -