Pemuda sumbang ‘superbike’ isi tabung Aid4Palestine

- Advertisement -

KOTA BHARU: Usaha yang dirintis Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor melelong kereta bagi mengisi tabung Aid4Palestine kini menjadi ikutan banyak pihak.

Terbaru seorang pemuda membuka bidaan motosikal berkuasa tinggi jenis Honda CBR600 2011 bagi membantu rakyat Palestin.

Dua hari lepas beliau membuka bidaan itu pada harga RM37,000 dan sekarang ada pembida yang menawarkan harga RM38,500.

- Advertisement -

Setiausaha Kerja Sekretariat Aid4Palestine Malaysia, Ustaz Ahmad Rashdan Ikhsan berkata, bidaan bermula RM37,000 dua hari lalu.

Menurutnya, motosikal tersebut masih dalam keadaan baik dan kini berada di Kemasik, Kemaman, Terengganu.

“Motosikal berkenaan disumbang seorang hamba Allah yang prihatin terhadap nasib umat Islam di Palestin yang sekarang berhadapan dengan serangan ganas zionis Israel.

“Hampir menitis air mata saya apabila membaca penderma berkenaan yang ingin menjual motosikal tersebut untuk didermakan kepada umat Islam di Palestin.

“Usaha pemuda itu menaikkan lagi semangat kami untuk terus berusaha demi membantu umat Islam di Palestin,” katanya di sini.

Kata beliau pemuda berkenaan mahu mengikut jejak Menteri Besar Kedah yang sanggup melelong kereta Volvo kesayangannya.

Malah beliau juga ingin mengikut jejak Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar yang menjual keris pusaka kesayangannya.

“Harga motosikal kuasa tinggi yang berjaya dijual nanti akan didermakan 100 peratus kepada rakyat Palestin.

Oleh itu mereka yang berhasrat untuk memiliki motosikal ini, bidaan masih dibuka sehingga Jumaat ini dan berakhir pada jam 10 malam.

Sesiapa yang berhajat boleh hubungi Ustaz Rashdan melalui aplikasi Whatsapp http://www.wasap.my/601120775802/motorPalestin.

“Sekreteriat #AidPalestin bersedia menjadi orang tengah untuk menjual koleksi peribadi individu yang berhasrat untuk menderma kepada umat Islam di Palestin,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 19/5/2021

- Advertisement -