Covid-19: Selangor belum parah lagi?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jumlah kes Covid-19 yang semakin meningkat sehinggah mencatat 6,075 hari ini manakala Selangor pula 2,251 menunjukkan bahawa kes ini semakin parah.

Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi mempersoalkan adakah ini akan mengulangi sekali lagi tidak terkawalnya perebakan Covid-19 di Selangor dan negara.

“Sampai bila Selangor mahu menjadi juara pandemik Covid-19. Pada awalnya wabak Covid-19 di negara kita nampak mengganas apabila kerajaan PH merasakan tidak perlu kawalan atau larangan kemasukan warga luar termasuk warga China terutama dari Wilayah Wuhan,” katanya.

- Advertisement -

Tambah beliau selepas itu Kerajaan Selangor seolah-olah menolak arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semula, selepas berlaku lagi gelombang peningkatan jangkitan kerana merasakan ada pendekatan tersendiri dalam mengawal Covid-19.

Katanya, adakah kali ini dengan jumlah kes baru 2,251 hari ini tertinggi negeri Selangor masih tidak merasakan makin parah dengan hanya beralasan negeri paling ramai penduduk dan industri yang pesat.

“Belum parah lagikah? Bukankah pergerakan yang tidak terkawal menjadi penyebab kepada perebakan jangkitan Covid-19?” tegasnya.

Beliau yang juga Adun Sijangkang beranggapan kerajaan Negeri Selangor perlu lebih serius dalam menangani wabak Covid-19.

Menurutnya keterlibatan pimpinan masyarakat dalam membantu memberikan pendidikan dan kesedaran masyarakat harus digerakkan secara optimum.

Beliau mencadangkan supaya semua ketua keluarga harus berperanan, ‘kita jaga keluarga kita’.

Begitu juga katanya, peranan IPMC (Industrial Park Management Committee) dalam menangani kepatuhan SOP kepada pekerja-pekerja harus dibuat secara bersungguh-sungguh terutama pekerja asing dan kesesakan tempat tinggal mereka.

Beliau mempersoalkan adakah kerajaan Negeri benar-benar fokus untuk menangani Covid-19 kerana  ternyata ia semakin meningkat di Selangor sepertimana kritikan biadap Exco Selangor kepada Perdana Menteri dalam isu Palestine.

 “Jangan mengalih perhatian rakyat daripada fokus. Jaga nyawa rakyat Malaysia yang terancam kerana Covid-19 dahulu.

“Fokus la sangat Covid-19 di Selangor, sedangkan di Selangor terus menjadi juara Covid-19,” tegasnya.

Beliau menyarankan PKP penuh harus dikenakan sekali lagi di negeri Selangor bagi menangani wabak yang semakin mengganas ini.

Menurutnya lagi, kempen cara hidup sihat, riadah dan bercucuk tanam serta makan sayuran dan buahan segar perlu digerakkan agar immuniti optimum dapat dibina oleh rakyat Selangor.

Katanya, gerakan penerangan immunisasi vaksin harus dilipat gandakan agar capaian vaksinasi 90 peratus dapat direalisasikan. – HARAKAHDAILY 19/5/2021

- Advertisement -