Varian baharu Covid-19 merebak lebih cepat

- Advertisement -

KOTA BHARU: Varian baharu Covid-19 yang muncul sekarang begitu membimbangkan kerana merebak dengan pantas di seluruh dunia.

Malah ia dikaitkan dengan kadar kematian yang lebih tinggi sekarang.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan Dr Izani Husin berkata, jangkitan varian itu amat membimbangkan di mana dikesan tiga varian di Malaysia.

- Advertisement -

Katanya varian Afrika Selatan (B.1.351) turut dikesan berada di Kelantan. Selain itu varian United Kingdom (B.117) dan varian India (B.1.617.1).

“Kebanyakan pesakit tidak menunjukkan gejala seperti demam, batuk dan bersin. Pesakit akan mengalami sakit sendi, lemah badan, kelesuan dan hilang selera makan.

“VOC merebak terus ke paru-paru dan tanda radang hanya boleh dikesan dengan X-Ray. Saringan biasanya menunjukkan keputusan negatif walaupun pesakit sudah berada pada tahap serius,” katanya pada kenyataan di laman sosialnya.

Menurutnya juga gelombang tersebut lebih berbahaya daripada sebelumnya. Oleh itu beliau menasihatkan orang ramai meningkatkan pematuhan SOP, duduk di rumah dan keluar bila perlu sahaja.

“Perlu amalkan kuarantin kendiri demi memutuskan penularan Covid-19. Terus berdoa semoga kita semua terhindar dari dijangkiti,” katanya.

Manakala dalam perkembangan berkaitan jumlah kes harian Covid-19 di Kelantan hari ini sebanyak 441 kes.

Dr Izani berkata, ia menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di negeri itu sekarang sebanyak 20,414 kes.

“Dimaklumkan terdapat dua kluster baharu direkodkan hari ini. Kadar kebolehjangkitan (Rt) di Kelantan ialah 0.97 manakala Rt nasional 1.08.

“Covid-19 berada dalam komuniti. Jangan hadir tempat sesak. Terus patuhi SOP yang ditetapkan demi kebaikan bersama. Tubik rumah pakai mask, kelik rumah basuh tangan,” ujarnya.

Manakala Lajnah Kesihatan PAS Pusat menggerakkan kempen ‘Self-lockdown’ (kawalan pergerakan kendiri) bagi membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengekang perebakan Covid-19.

Kempen itu dirintis Persatuan Amal Perubatan Ibnusina (PAPISMA) dengan melaksanakan beberapa cadangan.

Pengerusi Lajnah Kesihatan PAS Pusat Dr Mohd Mazri Yahya cadangan itu termasuk membeli barang keperluan hanya seminggu sekali, mengisi minyak kenderaan penuh tangki.

Selain itu solat berjemaah bersama keluarga di rumah, optimakan pembelian secara dalam talian, polisi zero tetamu, mencari keperluan harian di kedai paling hampir dengan kediaman.

“Tidak keluar rumah daripada jam 8 malam hingga 5 pagi. Di samping itu mematuhi segala SOP dianjurkan KKM dengan penuh disiplin,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 19/5/2021

- Advertisement -