Bumi Iraq dalam teladan ‘food security’

- Advertisement -

DALAM hal jaminan keselamatan makanan (food security) ketika berdepan dengan bencana jangka panjang, model Kerajaan Iraq antara yang menarik. Iraq sebenarnya sebuah negeri pertanian. Kewujudan 2 batang sungai yang membelah bumi Iraq dari Utara ke Selatan iaitu Dajlah dan Furat menjadikan bumi 2 sungai ini sangat subur. Orang Iraq selalu sebut kepada saya. Di Iraq hanya tiang elektrik dan tiang telefon yang kami tanam dan tidak tumbuh membesar. Benda lain yang ditanam semuanya tumbuh membesar.

Gandum antara hasil utama yang merupakan makanan ruji rakyat. Untuk tanaman gandum tidak ada sistem pengairan yang khusus. Bila masuk musim dingin pada bulan Oktober, hujan akan turun dan ketika itulah gandum mula ditabur. Juta hektar luasnya di seluruh Iraq. Memadai hanya dengan hujan yang turun sekali setahun untuk penanaman gandum.

- Advertisement -

Lebih kurang 4 bulan gandum mula dituai. Kerajaan akan membeli semua gandum yang diusahakan peladang. Biasa saya pergi tengok para peladang berhimpun di Bank Pusat Iraq مصرف المركزي  untuk mengambil wang bayaran dari kerajaan.

Tanggungjawab memproses gandum diuruskan oleh Kementerian Pertanian وزارۃ الزراعۃ.  Gandum yang telah diproses kemudiannya diagihkan kepada rakyat secara percuma dalam bentuk bantuan makanan sebanyak 5kg sebulan bagi setiap rakyat Iraq yang bernyawa. Agihan ini termasuk juga kepada semua warga asing yang menetap secara sah di Iraq. Kami pelajar Malaysia pun dapat. Ada lagi bantuan lain seperti beras, susu, minyak masak dan lain-lain.

Peniaga-peniaga boleh mendapatkan bekalan gandum dari kerajaan dengan harga murah yang membolehkan mereka menjual gandum kepada rakyat juga dengan harga murah. 5kg sebulan masih tak mencukupi tapi ia sangat membantu. Kalau dalam 1 keluarga ada 10 orang, mereka dapat 50kg gandum sebulan secara percuma dari kerajaan. Ada beberapa item lagi seperti beras, susu bayi, minyak masak, sabun basuh, teh dan barang-barang keperluan lain yang diagihkan secara sistematik setiap bulan secara percuma. Pernah saya kena marah dengan tuan kedai runcit yang menjadi wakil agihan barangan percuma ini kerana tak pergi ambil barangan yang memang tersedia untuk saya.

Saya melihat food security inilah antara benteng utama kenapa Iraq mampu bertahan berhadapan dengan sekatan ekonomi PBB dari 1991 sehinggalah kejatuhan Iraq pada 2003. Kuasa besar US boleh sekat Iraq dari darat, laut dan udara. Tapi rakyat tetap boleh makan. Ada waktu dan ketikanya andai berlaku krisis ketiadaan makanan, maka mereka yang ada makanan ialah orang yang paling kaya. Lebih kaya dari mereka yang ada wang dan emas. 

YB DR AZMAN IBRAHIM 
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri Terengganu – HARAKAHDAILY 19/5/2021

- Advertisement -