Dunia Islam perlu membina kekuatan sendiri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemimpin dunia Islam perlu mengecam tindakan negara haram Israel yang menzalimi umat Islam di Palestin.

Pengerusi Sekretariat #Aid4Palestine, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata tindakan itu perlu diteruskan kerana ia adalah sebahagian daripada iman.

“Seperti yang disebut Nabi dalam hadis sahih, ‘selemah-lemah iman ialah mencegah kemungkaran dalam hati’. Kezaliman yang berlaku ke atas negara Palestin adalah satu kemungkaran.

“Oleh kerana itulah kecaman daripada negara-negara Islam adalah satu sikap dan pendirian yang perlu diteruskan,” katanya pada satu diskusi isu bertajuk ‘Satu Pandang Sisi: Penyelesaian Dua Negara’, malam tadi.

- Advertisement -

Bagaimanapun, kata Khalil suasana politik dunia Islam pada hari ini mestilah membina kekuatan negara-negara Islam sendiri dan tidak boleh bergantung kepada kuasa-kuasa besar dunia.

“Lihatlah hari ini apa yang berlaku di Palestin berpanjangan, setiap kali konflik berlaku negara-negara Islam ini akan meminta tolong dengan Amerika.

“Akhirnya Amerika guna veto termasuk Rusia dan China. Ini kerana kita berada dalam sistem yang sengaja diwujudkan untuk memastikan Zionis Yahudi menguasai dunia. Itu kena akui.

“Oleh kerana itu apa yang patut dilakukan negara Islam adalah membina kekuatan mereka sendiri,” katanya.

Jelas beliau, walaupun negara-negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) sudah wujud tetapi ia satu badan yang sangat lemah dan hanya mampu melihat sahaja.

“Ia hanya badan yang tidak melakukan tindakan-tindakan yang proaktif. Oleh kerana itu usaha-usaha ini mesti diteruskan.

“Alhamdulillah kita melihat usaha ini sudah dimulakan antaranya ialah Profesor Necmettin Erbakan ketika beliau menjadi Perdana Menteri telah menubuhkan Lapan Negara-Negara Islam Membangun (D-8).

“Namun beliau hanya sempat menubuhkan negara-negara Islam membangun iaitu Turki, Malaysia, Indonesia, Bangladesh, Pakistan, Nigeria, Mesir dan Iran di mana lapan buah negara ini ditubuhkan untuk membina kekuatan negara-negara Islam dari sudut ekonomi, tenaga manusia, pertanian dan tempat strategik.

“Kalau kita lihat kelapan-lapan buah negara ini mempunyai ciri-ciri kekuatannya tersendiri. Jadi apabila digabungkan ia akan memberi satu kekuatan dunia Islam.

“Oleh kerana itu musuh-musuh Islam melihat ini satu tindakan yang sangat bahaya. Maka Profesor Necmettin Erbakan digulingkan,” katanya yang juga Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat.

Dalam pada itu, beliau turut bersetuju dengan tindakan Tun Mahathir Mohamad yang mengambil langkah semasa menjadi Perdana Menteri pada kali kedua iaitu membawa hasrat untuk mengukuhkan lapan buah negara namun hanya berjaya mengukuhkan empat negara sahaja.

“Ini merupakan satu langkah yang sangat baik yang wajar diteruskan demi untuk menguatkan negara-negara Islam itu sendiri,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/5/2021

- Advertisement -