Tiada tempat selamat di Gaza

- Advertisement -

MALAM tadi Majalah 3, TV3 menyiarkan satu dokumentari khas suasana di PKRC MAEPS Serdang berkaitan petugas dan pesakit Covid-19. Kalau masih tidak insaf dan prihatin melihat apa yang dilalui oleh frontliners dan pesakit Covid-19, entahlah. Alhamdulillah, fasiliti dan perkhidmatan kesihatan di negara kita dalam suasana aman, masih cukup walaupun semakin sukar.

- Advertisement -

Boleh anda bayangkan suasana ini di Gaza? Pesakit Covid-19 sudah sedia ramai sebelum perang ini. Peralatan kesihatan, ubat-ubatan sangat terhad. Bantuan kesihatan dan keperluan asas hidup tidak mudah didapati. Maabir/laluan sempadan ditutup. Sekarang ditambah dengan serangan ganas rejim Zionis yang meragut nyawa kanak-kanak, wanita dan lebih 1,300 orang cedera. Hospital Shifa tidak dapat menampung kesemua kes ini. Hari kesembilan (Selasa 18 Mei 2021) terus menyaksikan kezaliman rejim celaka dan dilaknat ini. Sekali lagi, anda boleh bayangkan?

Jururawat wanita India yang bertugas di wad ICU ditunjuk malam tadi dalam Majalah 3 menitiskan airmata kerana hiba dengan kes pesakit Covid-19 yang meninggal sedangkan tiada kaum keluarga pesakit bersamanya. Yang ada dalam dirinya adalah sifat kemanusiaan, walaupun berbeza agama dan bangsa.

Rejim Zionis langsung tiada sifat kemanusiaan. Segala jenis bangunan, jabatan, kilang, tempat dibom. Semua orang menjadi mangsa bom, terutama kanak-kanak dan wanita.

Pagi tadi stesen TV Al-Jazeera menemuramah pegawai bomba atau pertahanan awam di Gaza mengenai tugas menyelamat mangsa. Alat tidak cukup, sangat terhad. Setakat sebuah dua jengkaut untuk mengaut timbunan bangunan runtuh, apalah sangat. Mangsa di sini masih di bawah timbunan runtuhan bangunan. Dibom pula di sana. Sehingga kilang aiskrim pun dibom.

Sudah lapan, sembilan hari ada pegawai bomba, pertahanan awam yang tidak kembali ke rumah. Mereka bertungkus-lumus memadamkan api dengan sumber air yang terhad, mengangkut batu dan besi yang menghalang dengan tangan kosong dan mengangkat mangsa yang penuh luka dan debu.

Dalam temuramah Al-Jazeera dengan pegawai bomba/pertahanan awam itu, beliau menyebutkan; kalau tidak kerana suasana yang sangat mengerikan, beliau akan tunjuk gambar kepada Al-Jazeera keadaan mangsa yang ditemui di bawah runtuhan bangunan kesan bom regim Zionis sepanjang sembilan hari mereka bertugas.

nik nasri
NIK MUHAMMAD NASRI

Dengan keluasan Gaza yang sekangkang kera, dengan kepadatan penduduk di situ, dengan kepungan sejak lama, dengan kecanggihan teknologi perang rejim Zionis, mereka mampu menghancurkan bumi Gaza dan mengebom apa sahaja. Namun, tentulah semuanya dengan izin Allah. Bagi kita di sini, bantulah apa yang termampu buat saudara kita di sana.

Berat telinga mendengar, berat lagi mata memandang, dan lebih berat bahu yang memikul. – HARAKAHDAILY 18/5/2021

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.

- Advertisement -