Orang Baling, Sik miskin harta, tetapi kaya jiwa

- Advertisement -

MELIHAT senarai kawasan menderma kepada tabung Palestin dari Kedah, saya terpaku dan terpukul. Terpaku kerana Kedah bukan negeri kaya. Ia negeri pertanian di Utara. Terpukul melihat senarai penderma tertinggi dari Kedah adalah Baling, antara daerah termiskin. Bukan hanya di Kedah tetapi juga dalam Malaysia.

Baling adalah kawasan kampung. Ia kawasan penoreh getah. Getah adalah lambang miskin bagi kefahaman penduduk Malaysia. Mengikut laporan Kementerian Luar Bandar 2019 terdapat tiga daerah termiskin di Kedah iaitu Yan, Sik dan Baling dan ia merupakan antara senarai daerah termiskin di Malaysia.

Saya kenali Baling kerana perjanjian dengan Komunis antara Tengku Abd Rahman dan Chin Peng. Saya juga kenali Baling kerana peristiwa Memali. Baling rupanya adalah daerah pejuang. Jumlah terkumpul sehingga semalam 17 Mei di kedah melebihi satu juta ringgit Malaysia dan Baling mencatatkan angka RM154,751.40. Ia paling tinggi di Kedah. Kawasan Sik yang merupakan kembar Baling berada di tangga ke-6 melebihi RM50,000.

- Advertisement -

Dua daerah ini majoritinya kawasan penoreh getah. Sekarang musim hujan yang pasti mengganggu kerja mereka. Ditambah harga getah yang baru ingin pulih, belum diambil kira kesan ekonomi dari pandemik COVID-19. namun komitmen mereka membantu saudara seagama sangat tinggi.

Saya sangat yakin, jiwa mereka dididik dengan tarbiah dan pengorbanan. Bumi Baling masih merah darah perjuangan syuhada’ Memali. Bukan hanya harta mereka korbankan, malah nyawa pernah mereka cagarkan. Sik pula terkenal dengan pondok pimpinan Almarhum Tok Guru Haji Saleh.

Di saat masih ramai yang rakus mengejar dunia dan tamak dengan kuasa, penduduk Baling mengajar erti perjuangan. Mereka tidak disentuh godaan projek dan rasuah serta gaya hidup mewah. Ia sewajarnya menjadi contoh umat Islam di Malaysia.

Ia juga sewajarnya dijadikan contoh dalam PAS sendiri andai ada yang masih bergelumang dengan kemewahan dan berbicara mengenai projek mengatasi pengorbanan. Pendukung PAS Baling mungkin mampu mendidik mereka erti perjuangan sebenar. Mereka ini mungkin hasil tarbiah tema muktamar PAS suatu ketika dulu, ‘Menyanggah Fikrah Maddiyah’. Sesungguhnya saya terasa malu. Mari kita berlumba mengejar kebaikan.

FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha Politik
Pesuruhjaya PAS Perak – HARAKAHDAILY 18/5/2021

- Advertisement -