Dana diserah terus ke wakil berwibawa, dipercayai

Dana
- Advertisement -

ALHAMDULILLAH, syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah dan kurnia-Nya segala perancangan untuk kutipan dana Aid4Palestin bagi membantu Palestin dan rakyatnya telah berjalan lancar serta mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

Berdasarkan keadaan semasa dipercayai akan lebih banyak lagi sumbangan yang akan diterima dari seluruh rakyat Malaysia yang prihatin dengan sama-sama merasai keperitan dan kesengsaraan yang dihadapi oleh Palestin dan warganya akibat ditindas, dizalimi dan dijajah oleh regim Zionis Israel.

- Advertisement -

Tiga NGO utama gabungan Aid4Palestin iaitu Yayasan Amal Malaysia, Muslim Care Malaysia dan Cakna Palestin diberi amanah untuk mengumpulkan segala bentuk sumbangan dari NGO-NGO gabungan lain. Hingga tarikh ini, lebih 100 NGO yang bersetuju bersama bersolidariti dengan Palestin melalui Aid4Palestine. Kesemua sumbangan terkumpul itu akan diserahkan terus kepada NGO yang berwibawa dan dipercayai di Palestin. Antaranya melalui Nadir An-Nuri dari Cinta Gaza Malaysia yang sememangnya dikenali ramai dan banyak membantu serta membuat kerja-kerja amal di Palestin selain beliau sendiri bermastautin di Palestin.

Jumlah sumbangan tersebut juga akan diserahkan seratus peratus tanpa diambil sebarang komisyen oleh NGO-NGO terbabit demi untuk mengelakkan syak wasangka yang boleh dimanipulasi oleh sesetengah pihak agar tidak memburukkan nama NGO-NGO terbabit mahupun Malaysia, pemimpin dan rakyatnya. Satu jawatankuasa audit oleh akauntan bertauliah dilantik bagi mempastikan ketelusan dalam sumbangan yang disampaikan nanti.

Sumbangan yang diterima akan difokuskan kepada tiga aspek utama iaitu pendidikan, kebajikan dan kesihatan yang mana ketika ini ketiga-tiga aspek tersebut menjadi keperluan utama rakyat Palestin terutamanya di Semenanjung Gaza.

Besarlah harapan agar setiap rakyat Malaysia dapat menyumbang untuk membantu Palestin dan rakyatnya demi untuk masa depan mereka. Semoga segala sumbangan kita akan diberikan ganjaran dan pahala oleh Allah S.W.T dan seterusnya akan memberi manfaat kepada Palestin dan warganya.

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi,
Sekretariat Aid4Palestine – HARAKAHDAILY 18/5/2021

- Advertisement -