Teruskan perlumbaan kutipan Dana #Aid4Palestine

HARI ini adalah hari ke-4 PAS Kedah melancarkan tabung Derma Jihad Palestin peringkat negeri. Jangkaan awal saya, dalam suasana Aidul Fitri, PKP, wabak COVID-19 yang meningkat setiap hari, jumlah kutipan mungkin sederhana. 

Bagi saya, jika dapat dikutip seratus dua ratus ribu sudah besar rahmat bagi mencukupkan target yang diletakkan oleh Tuan Guru Presiden PAS sebanyak RM1 juta untuk disumbang kepada Palestin. Rupanya jangkaan saya salah, keprihatinan pimpinan dan ahli PAS di setiap peringkat amat hebat. Simpati kepada saudara seagama di Palestin mengatasi segalanya. 

Advertisement

Dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat negeri memulakan kutipan, begitu juga peringkat kawasan, DUN serta Cawangan. Angka kutipan dimasukkan dalam group whatsapp peringkat masing-masing serta diupdate pula dalam group Badan Perhubungan. Setiap jam dan hari berlaku peningkatan. Puncaknya menjadi satu persaingan. Dewan negeri dan kawasan berlumba antara satu sama lain. Di kawasan perlumbaan berlaku antara DUN dan Cawangan. 

Perlumbaan yang baik. Berlumba untuk menzahirkan simpati kepada saudara seagama yang sedang diserang Zionis Israel Laknatullah. PKP menghalang rentas daerah dan negeri, bahkan dihalang juga ziarah menziarahi demi untuk memutuskan rantaian COVID-19. Namun PKP tidak menghalang rasa simpati diterjemah dalam bentuk sumbangan dan pengorbanan harta.

Bahkan, saya yakin bukan sekadar harta, andai dibuka peluang untuk menyumbang tenaga, jiwa dan nyawa akan ada yang mendaftarkan diri. Darah mujahid, semangat para syuhada’ terus mengalir di dalam diri para pejuang. Bahkan di bumi Kedah ini pun sudah banyak darah para syuhada’ yang mengalir sejak dahulu. Namun, tuntutan kepada kita belum sampai ke peringkat itu.

Terima kasih dan tahniah saya ucapkan kepada semua ‘pelumba’ yang tidak pernah putus asa untuk meningkat jumlah kutipan. Esok majlis penyerahan akan dibuat di Kompleks PAS Kedah. Masa masih ada untuk meneruskan kutipan. Terima kasih para pelumba di jalan kebaikan. Anda hebat.

Kutipan terkini 12:30 tengahari RM743,891.00.

USTAZ AHMAD YAHAYA 
Pesuruhjaya PAS Kedah – HARAKAHDAILY 17/5/2021