Semangat tinggi anak muda kutip dana Palestin

- Advertisement -

TUMPAT: Pelancaran Tabung Sumbangan Palestin kempen #Aid4Palestin anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat berjaya mengumpul dana sebanyak RM22,300.18.

Ia melebihi sasaran awal yang dijangka sebanyak RM10,000.

Ketuanya Ustaz Mohd Hushaimi Hussian berkata, pihaknya tidak menjangkakan kutipan melebihi sasaran awal yang dibuat sebelum ini.

- Advertisement -

Menurutnya, apa yang berlaku menunjukkan semangat luar biasa anak-anak muda di Tumpat bekerja untuk mencari dana bagi membantu umat Islam di Palestin.

“Program ini adalah usaha yang digerakkan jentera anak-anak muda setelah mendapat arahan Setiausaha Agung PAS Dato’ Seri Takiyuddin Hassan.

“Alhamdulillah kita bersyukur kerana berjaya mengumpul dana sebanyak itu dalam tempoh yang singakt,” katanya ketika ditemui di sini.

Sehubungan itu beliau mengucap terima kasih kepada semua pihak yang bekerja keras mengumpul dana berkenaan.

“Terima kasih kepada Jabatan Amal Tumpat, Pemuda-Pemuda PAS Dun, Kelab ARC, Ikatan Mahasiswa Tumpat dan Dewan Pemuda PAS Tumpat yang memberi sokongan tinggi untuk menjayakan program itu,” tambahnya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada badan-badan bukan kerajaan dan individu yang turut menyumbang kepada umat Islam di Palestin.

Hushaimi juga berkata, bagi fasa kedua, pihaknya akan meletakkan tabung-tabung kutipan derma di tempat-tempat tertentu termasuk di pasar raya irMart bagi membolehkan orang ramai menderma. – HARAKAHDAILY 18/5/2021

- Advertisement -