Palestin: Adun Kelantan potong elaun bulanan

KOTA BHARU: Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan (BBC) mengumumkan membuat pemotongan elaun wakil rakyat sebanyak RM7,000 bagi membantu meringankan beban rakyat Palestin.

Pengerusinya Dato’ Hassan Mohamood berkata, setiap wakil rakyat PAS Kelantan membuat potongan sebulan elaun untuk disumbangkan kepada tabung Palestin.

“Ia diadakan dua fasa, fasa pertama kutipan kita hari ini berjumlah RM100,000 dan ia akan sampaikan kepada Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob.

Advertisement

“Manakala fasa kedua potongan terus melalui elaun wakil-wakil rakyat,” katanya di sini hari ini.

Baru-baru ini kerajaan Kelantan mengumumkan sumbangan sebanyak RM100,000 daripada Tabung Serambi Mekah bagi membantu umat Islam di Palestin.

Malah Menteri Besar menyumbang bantuan peribadi sebanyak RM10,000. Orang ramai juga boleh menyalur sumbangan melalui Tabung Amanah Kebajikan Darulnaim (Tabung Serambi Mekah) – 03018010080024 (Bank Islam).

Hassan yang juga Adun Tawang berkata, usaha yang dilakukan secara dua peringkat itu dibuat atas dasar tanggungjawab sebagai orang Islam yang bersaudara walaupun berlainan bangsa dan keturunan.

“Maka BBC Kelantan mengambil keputusan untuk sama membantu umat Islam di Palestin. Orang ramai juga digalak turut sama menyalur sumbangan,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/5/2021