Kerajaan GRS di Sabah masih utuh – PBS

- Advertisement -

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masih kukuh dan utuh sehingga sekarang kata Ketua Penerangannya Dato’ Joniston Bangkuai.

Malah beliau menolak dakwaan kononnya Presiden Warisan Dato’ Seri Mohd Shafie Apdal akan membentuk kerajaan negeri.

“Perkara itu hanya sekadar kata-kata sahaja memandangkan kerajaan GRS kini kukuh dengan majoriti besar.

- Advertisement -

“Tidak ada yang perlu dinafikan kerana ia tidak mempunyai kebenaran,” katanya dalam satu kenyataan seperti dilapor Utusan Borneo hari ini.

Sebuah portal berita sebelum ini melaporkan spekulasi PBS menarik diri daripada gabungan PN selepas Shafie menyatakan pihaknya ingin bekerjasama dengan Parti Bersatu Sabah (PBS) sekiranya diberi peluang.

Laman berita itu mendakwa berlaku ketegangan antara PBS dan STAR seakan-akan mirip Umno-Bersatu.

GRS merupakan gabungan yang terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), BN dan PBS. PN dianggotai Bersatu, PAS, STAR, Gerakan dan SAPP.

Joniston yang juga Setiausaha Agung PBS berkata, berita tersebut tidak benar di mana ia mula ditular menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Sebelum itu Presiden PBS Dato’ Seri Dr Maximus Ongkili dilapor menjelaskan parti itu sedia mengadakan kerjasama dengan semua pihak demi kepentingan Sabah. PBS mempunyai tujuh kerusi Dun.

Kerajaan GRS sekarang mempunyai majoriti 48 kerusi daripada 79 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) di Sabah.

Manakala Warisan dan rakannya sekutu hanya mempunyai 30 kerusi. Satu kerusi Dun kosong berikutan kematian penyandangnya Datin Manis Muka Mohd Darah daripada Warisan di Bugaya. – HARAKAHDAILY 17/5/2021

- Advertisement -