45 kematian hari ini, situasi Covid-19 membimbangkan

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata situasi Covid-19 di negara ini nampak semakin membimbangkan.

Dalam satu hantaran di laman Facebooknya malam ini, beliau berkata ini selepas 45 kes kematian direkodkan hari ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula melaporkan, jumlah kes kematian akibat jangkitan Covid-19 itu termasuk satu bukan warganegara.

Advertisement


Ini menjadikan kematian akibat jangkitan Covid-19 di Malaysia sebanyak 1,947.

“Ini merupakan kes kematian harian tertinggi sejak pandemik ini melanda negara,” ujar KKM menerusi laman Facebooknya, malam ini.

Katanya, Selangor masih mencatatkan kes kematian tertinggi iaitu 20 kes atau 44 peratus daripada keseluruhan kes kematian hari ini.

Tambahnya, kes kematian tertua pada hari ini berusia 90 tahun dan kes kematian termuda berusia 36 tahun.

Menurutnya lagi, tiga kes kematian hari ini tidak mempunyai sejarah penyakit kronik manakala tiga kes brought in dead dilaporkan.

Menurut KKM lagi, majoriti kes kematian adalah dalam kalangan warga emas iaitu 35 kes.

“KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 17/5/2021