Dasar Luar Malaysia jelas tidak iktiraf Israel

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dasar Luar Malaysia adalah jelas tidak mengiktiraf Israel, kata Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man sekaligus membuktikan bahawa PAS menolak penyelesaian dua negara atau two state solution bagi menamatkan perang antara Israel dan Palestin di bumi Palestin.

- Advertisement -

Menurut Tuan Ibrahim, isu two state solution sudah lama terkubur memandangkan negara haram Israel sendiri tanpa segan silu mencabul perjanjian damai, mengkhianati gencatan senjata serta tidak menghormati rakyat Palestin.

“Dasar Luar Malaysia adalah tidak mengiktiraf Israel. Jelas, penyelesaian dua negara (two states solution) di Israel sebenarnya tidak lagi timbul memandangkan Israel sendiri tanpa segan silu mencabul perjanjian damai, mengkhianati gencatan senjata dan tidak menghormati hak rakyat Palestin,” ujarnya mengulas berhubung cadangan two state solution.

Mengulas lanjut kata Tuan Man, dalam isu Palestin ketika ini, PAS berpandangan fokus yang harus diutamakan buat masa sekarang adalah sokongan dan bantuan yang mesti dihulurkan kepada Palestin terutama sumbangan berbentuk dana kewangan dan doa.

Selain itu katanya, rakyat Malaysia khususnya perlu terus dididik dengan maklumat yang betul berhubung situasi Palestin termasuk perkembangan semasa yang berlaku di sana.

Beliau dalam masa sama turut menyatakan sokongan padu terhadap usaha pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) meningkatkan kawalan keselamatan dalam segenap aspek susulan ancaman keselamatan dari Israel sebelum ini.

“Tugas utama PDRM adalah memastikan keselamatan rakyat Malaysia termasuk rakyat Palestin yang kini berada di Malaysia. Rakyat Malaysia diharap terus bertenang kerana keadaan negara berada pada kawalan yang baik.

“Hubungan Malaysia dan Palestin sangat baik. Malaysia sentiasa komited memberikan sokongan dan bantuan sama ada daripada aspek politik, ekonomi dan sosial kepada Palestin sejak kepimpinan Tunku Abdul Rahman lagi. Justeru, perkara ini tetap diteruskan,” ujarnya kepada Harakahdaily, hari ini.

16 Mei, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengeluarkan satu kenyataan bahawa pihaknya memandang serius ancaman keselamatan yang dikeluarkan Israel terhadap pemimpin-pemimpin pergerakan pejuang Palestin yang berada di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Dalam masa sama, KDN juga menasihati orang ramai supaya bertenang memandangkan keadaan keselamatan dalam negara dilaporkan terkawal dan kekal berada di tahap yang baik. – HARAKAHDAILY 17/5/2021

- Advertisement -