Rentas barang guna tali di Sungai Golok

- Advertisement -

RANTAU PANJANG: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan melalui Ops Benteng Covid berjaya merampas penyeludupan mercun bernilai RM635,347.00 di sempadan Malaysia-Thailand.

- Advertisement -

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, sepanjang operasi dalam tempoh sebulan membabitkan sebanyak 14 kes dengan tangkapan 12 lelaki dan rampasan mercun mencatat antara nilai tertinggi.

Katanya, rampasan itu juga turut membabitkan beberapa bahagian iaitu di sektor Rantau Panjang, Jeram Perdah di Pasir Mas dan Kuala Jambu di Tumpat.

“Kebanyakan tangkapan yang dibuat bagi tempoh penugasan bulan Ramadan melibatkan penyeludupan mercun, PATI, ketum, penyeludupan hidupan liar (eksotik), barangan kawalan seperti tepung, minyak masak dan petrol.

“Seterusnya barangan kontraban (pakaian, vape, haiwan ternakan dan pelbagai jenis makanan,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Markas PGA Lubuk Stol, Rantau Panjang hari ini.

Bagaimanapun katanya, nilai keseluruhan rampasan melibatkan pelbagai tangkapan itu sebanyak RM4.8 juta.

“Walaupun menghadapi pelbagai cabaran di bulan Ramadan seperti terpaksa berkorban diri dengan meredah hujan dan panas selain berisiko dengan jangkitan Covid-19, namun penugasan tetap dilakukan selama 24 jam tanpa mengira masa bagi menjaga sempadan negara daripada dibolosi.

“Modus operandi penyeludupan turut dikenal pati dilakukan secara kecil-kecilan menggunakan kenderaan seperti kereta atau motovan, berbeza dengan sebelum ini menggunakan lori untuk menyimpan barangan seludup di stor atau rumah sebelum diagihkan ke tempat yang dituju,” katanya.

Dalam pada itu katanya, aktiviti rentas barangan menggunakan tali yang disambung dari tebing sungai sebelah Thailand dan Malaysia yang aktif sebelum ini merupakan satu kesalahan.

Kata beliau kebanyakan penduduk menggunakan langkah itu sebagai medium untuk mengirim wang, dokumen dan ubat-ubatan kepada ahli keluarga atau saudara mara yang berada di antara dua negara terbabit.

Beliau berkata kegiatan itu tetap menjadi satu kesalahan di mana pihaknya akan terus memperketatkan kawalan sempadan bagi mengelak sebarang kesalahan dan penyeludupan secara haram antara kedua-dua negara.

Terdahulu Azhari membuat lawatan di beberapa pangkalan haram Sungai Golok iaitu pangkalan Gergaji dan Paung untuk melihat suasana sempadan negara dan memantau anggota yang menjalankan tugas. – HARAKAHDAILY 15/5/2021

- Advertisement -