Fadhil rangkul emas di Piala Negara-Negara UCI di Hong Kong

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pelumba basikal trek negara Muhammad Fadhil Mohd Zonis terus melakar kejayaan pada Kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Velodrom Hong Kong apabila merangkul emas dalam acara keirin lelaki hari ini.

- Advertisement -

Pelumba Yayasan Sime Darby berusia 24 tahun itu mencatat masa 10.298 saat untuk muncul juara, mengetepikan dua pelumba pemegang pingat perak Kejohanan Dunia dari Jepun, menurut laman sesawang rasmi UCI, https://www.uci.org.

Pemegang pingat perak Kejohanan Dunia 2020 dan Juara Asia empat kali Yuta Wakimoto serta pemegang pingat perak Kejohanan Dunia 2019 Yudai Nitta masing-masing meraih pingat perak dan gangsa.

Sementara itu, seorang lagi pelumba Malaysia Ahmad Safwan Ahmad Nazeri menamatkan saingan di tempat ke-11.

Semalam, Muhammad Fadhli, pemegang rekod kebangsaan dan Asia Ujian Masa 1km, meraih pingat perak dalam acara berkenaan. Beliau akan bersaing dalam acara pecut esok.

Sementara itu, Anis Amira Rosidi merangkul pingat gangsa Ujian Masa 500m wanita, dengan catatan 35.493s.

Pelumba Itali yang meraih pingat gangsa pada Kejohanan Dunia Miriam Vece mengungguli acara berkenaan selepas mencatatkan 34.022s manakala pelumba Sepanyol Helena Casas Roige membawa pulang pingat perak (35.493s).

Pelumba elit negara Mohd Azizulhasni Awang, yang sedang membuat persiapan untuk menghadapi Olimpik Tokyo di Melbourne, Australia, mengucapkan tahniah kepada barisan pelumba Malaysia di atas kejayaan mereka itu.

“Tahniah buat Fadhil Zonis di atas kemenangan pingat emas dalam acara keirin sebentar tadi. Kemenangan ini menjadikan Fadhil pelumba Malaysia ketiga yang pernah memenangi pingat di peringkat World Cup/Nation Cup ini selepas saya dan Mohd Rizal Tisin. Welcome to the club Fadhil.

“Kedua-dua pelumba ini memang sangat berpotensi untuk pergi lebih jauh dan mereka berdua ini mempunyai disiplin tinggi, mendedikasikan diri mereka sepenuhnya kepada karier sukan dan sentiasa terbuka menerima nasihat. Diharap Fadhil dan Anis dapat menempah lebih banyak kejayaan di masa hadapan,” katanya dalam media sosial. – BERNAMA

- Advertisement -