Kenyataan media Pengerusi Sekretariat #Aid4Palestine

- Advertisement -

BUMI Palestin kini sedang diserang begitu dahsyat oleh rejim Zionis Israel. Angka kematian dan kecederaan rakyat Palestin dijangka terus meningkat saban hari apabila rejim Zionis Israel mempergiatkan serangan dari semasa ke semasa.

Melihat keadaan yang semakin parah ini, YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Duta Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah telah mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yasin berkenaan situasi semasa di Palestin, seterusnya mengambil inisiatif dan tindakan proaktif bagi membantu perjuangan pembebasan bumi Palestin dengan menubuhkan Sekretariat #Aid4Palestine.

Alhamdulillah kita melihat kesedaran rakyat Malaysia khususnya anak muda bersatu hati menentang kezaliman Zionis Israel melalui media sosial. Isu yang berlaku di Palestin ini adalah isu penting untuk menyatukan hati umat Islam yang beriman dan kasih kepada tanah suci Baitul Maqdis, walaupun berbeza ideologi dan mazhab.

- Advertisement -

Seharusnya seluruh umat Islam khususnya negara Arab dan negara Islam lantang menentang tindakan zalim Zionis Israel, namun malangnya ada sebahagian negara-negara ini melaksanakan dasar normalisasi dengan negara haram Israel yang salah dan sesat serta bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar.

Kita mahu Zionis Israel dan negara-negara Arab bertanggungjawab atas kematian para syuhada, kemusnahan bangunan, dan kecederaan rakyat Palestin yang tidak berdosa.

Semua pihak sepatutnya berusaha mencari solusi yang lebih tegas dan konkrit termasuk mengenakan tekanan politik dan pemencilan antarabangsa ke atas rejim Zionis Israel ini.

Negara umat Islam yang kaya dengan hasil bumi dan kepakaran tenaga manusia tetapi hilang keizzahan akibat tidak bersatu dan termakan dengan peluru musuh Islam yang memainkan sentimen mazhab dan perkauman.

Oleh itu, Sekretariat #Aid4Palestine menyeru dan mengajak seluruh umat Islam di Malaysia, negara-negara Islam dan masyarakat antarabangsa untuk mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman Zionis Israel dan mengambil tindakan politik yang lebih keras dengan pemencilan terhadap negara haram Israel yang melampaui batas undang-undang dan kemanusiaan.

Kita mesti bersatu padu atas dasar keimanan dan kemanusiaan untuk bersama membebaskan bumi Palestin serta membela hak rakyat Palestin.

Usaha murni yang disambung daripada generasi terdahulu ini diharapkan dapat diperluaskan lagi kepada seluruh rakyat Malaysia dengan bersama-sama menggerakkan bantuan kemanusian dan membantu perjuangan suci Palestin ini.

Semoga usaha ini dikira sebagai amal jariah dan ganjaran tertinggi di sisi Allah SWT.

Selamatkan Masjid al-Aqsa, Bebaskan Palestin.

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi, Sekretariat Aid4Palestine
3 Syawal 1442H / 15 Mei 2021 – HARAKAHDAILY 15/5/2021

- Advertisement -