Lapangkan hati, raikan Aidilfitri dengan kesyukuran

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH, syukur ke hadrat Allah SWT kerana masih diberi peluang untuk bernafas dan ruang untuk kita meraikan lebaran di tempat masing-masing.

Dua tahun yang pasti memberi ingatan mendalam buat kita semua apabila Hari Raya Aidilfitri sekali lagi akan disambut dalam situasi norma baharu.

Semoga kita terus istiqamah dalam membuat kebaikan seperti yang dilakukan sepanjang Ramadan.

- Advertisement -

Doakan agar keadaan negara kembali pulih sepenuhnya dan kita semua dapat menjalani kehidupan seperti biasa.

Saya pasti, kerinduan terhadap insan tersayang dan kampung halaman membuak-buak terutamanya bagi mereka yang sudah lama tidak bertemu dan berjauhan dengan keluarga.

Namun, patuhi arahan yang ditetapkan dan terimalah dengan hati yang lapang demi keselamatan kita semua. Terima kasih kepada barisan hadapan yang bertungkus lumus mengekang penularan wabak Covid-19. Bersyukurlah, kerana pengorbanan mereka kita dapat beraya dengan selamat.

Mewakili Kerajaan Negeri Terengganu, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam terutama rakyat Terengganu yang dikasihi.

Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin

‘Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera’

DATO’ SERI DR AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Menteri Besar Terengganu
13 Mei 2021 | 1 Syawal 1442 – HARAKAHDAILY 13/5/2021

- Advertisement -