Perutusan Aidilfitri 1442H Menteri Besar Kelantan

- Advertisement -

SELAMAT menyambut Hari Raya Aidilfitri buat seluruh umat Islam di Malaysia, khususnya rakyat Negeri Kelantan Darul Naim yang dikasihi. Marilah kita sama-sama menzahirkan kesyukuran kita kerana masih diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk meraikan Aidilfitri pada kali ini.

Aidilfitri adalah anugerah berharga daripada Allah SWT selepas kita sama-sama dididik selama sebulan dalam madrasah Ramadan yang merupakan bulan ibadah, bulan Al-Quran, bulan penuh rahmat dan bulan keberkatan.

Oleh itu, Marilah kita berdoa agar termasuk dalam golongan yang berjaya iaitu diterima amalan dan diampuni dosa hasil proses tarbiah Ramadan, dan seterusnya kita beristiqamah dengan amalan-amalan soleh yang dilaksanakan pada bulan Ramadan untuk bulan-bulan akan datang.

- Advertisement -

Pada tahun ini, kita masih lagi menyambut Ramadan dan ketibaan Syawal dalam suasana norma baharu. Penularan wabak pandemik Covid-19 yang masih tinggi telah memaksa kerajaan mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh Negeri Kelantan demi keselamatan nyawa semua.

Negeri Kelantan telah merekodkan peningkatan kes jangkitan yang sangat membimbangkan. Sehingga kini, Negeri kita telah merekodkan hampir 20,000 kes jangkitan. Hospital-hospital di seluruh negeri Kelantan juga telah mencapai tahap maksimum. Manakala, kerajaan telah membuka sembilan (9) Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC). Ini menunjukkan tahap penularan dan jangkitan di Negeri Kelantan sudah berada dalam komuniti.

Demi menjaga keselamatan semua pihak kerajaan terpaksa mengambil beberapa keputusan yang sukar untuk membendung penularan wabak yang merbahaya dan mengancam nyawa ini. Dalam masa yang sama, kerajaan juga mengambil berat mengenai aspek ekonomi dan kebajikan rakyat yang terjejas. Dalam tahun 2021, sehingga kini Kerajaan Negeri telah berbelanja hampir RM9 juta bagi membantu rakyat yang terkesan dan memulihkan ekonomi bagi sektor yang terjejas.

Buat anak Kelantan diperantauan, saya memahami betapa kerinduan untuk pulang berhari raya di kampung bersama orang tua dan sanak saudara. Manfaatkanlah ruang teknologi maklumat yang ada untuk bertanya khabar dan bersilaturahim. Yakinlah disebalik kesusahan dan kepayahan ini Allah janjikan kesenangan. Sebagai Umat Islam kita sentiasa diajar supaya tidak berputus asa atas musibah yang berlaku. Sabarlah kita dalam berdepan dengan musibah wabak serta berusaha dalam menanganinya.

Hargailah pasukan barisan hadapan terutama petugas kesihatan dan anggota keselamatan yang berusaha menghentikan jangkitan ini daripada terus membahayakan kita semua. Maka, patuhilah setiap arahan dengan mematuhi garis panduan (SOP) seperti tidak berhimpun, menjaga jarak fizikal ketika sambutan hari raya.

Pada kesempatan ini juga, saya bagi pihak kerajaan negeri merakamkan setinggi penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan yang berkorban tanpa mengenal erti penat dan lelah. Terima kasih juga kepada seluruh rakyat Kelantan yang sentiasa memberi kerjasama dan sokongan dengan mematuhi saranan dan arahan yang ditetapkan.

Semoga sambutan Aidilfitri kali ini walaupun dengan pergerakan yang terbatas namun tidak menyekat untuk kita menzahirkan kesyukuran dan kegembiraan dengan cara yang sesuai dengan syariat Islam. Perbanyakkan amalan-amalan sunat seperti bertakbir, bertahmid serta bersedekah agar mereka yang memerlukan turut dapat berhari raya dengan gembira. Semoga Allah memberi kekuatan dan kemampuan untuk kita hadapi ujian dalam melahirkan kita sebagai hamba yang bertaqwa dan bersyukur.

Sekali lagi, saya dan saf kepimpinan Kerajaan Negeri Kelantan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh muslimin dan muslimat.

من العائدين والفائزين كل عام وأنتم بخير          

Maaf Zahir Dan Batin.

Tulus Ikhlas:

DATO’ BENTARA KANAN USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan
1 Syawal 1442 – HARAKAHDAILY 13/5/2021

- Advertisement -