Kempen #Aid4Palestine

- Advertisement -

SAYA mengikuti secara dekat perkembangan terkini yang berlaku di Palestin, serangan berterusan yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin adalah suatu tindakan zalim dan wajib dikecam oleh seluruh rakyat dan pemimpin negara umat Islam sedunia yang cintakan bumi al-Aqsa.

Perompak jalanan Zionis Israel berusaha untuk mengusir penduduk Palestin di kawasan Syeikh Jarrah supaya keluar daripada rumah-rumah mereka, dan selepas itu tanah dan hak mereka akan dirampas oleh Zionis Israel secara haram.

Sehingga ke saat ini menjelang 1 Syawal 1442H, rakyat dan pejuang Palestin terus teguh mempertahankan bumi suci itu tanpa rasa gerun dan takut kepada musuh Allah SWT. Semangat jihad mereka yang tinggi berasaskan keimanan yang kuat menjadi obor kepada perjuangan pembebasan bumi Palestin.

- Advertisement -

Setiap umat Islam perlu terus berdoa dan memberikan tekanan ke atas rejim Zionis Israel dengan pelbagai cara dan teknologi terkini, supaya dihentikan kekejaman ini dan mengembalikan hak rakyat Palestin. Tidak cukup dengan itu, infaq dan sumbangan setiap umat Islam bagi membantu perjuangan rakyat Palestin perlu diteruskan, sebagai tanda pengorbanan dan kasih kita kepada Masjid al-Aqsa dan bumi Palestin yang dimuliakan oleh Allah.

Justeru itu, kami telah mengadakan perbincangan khas pada petang 30 Ramadhan, melibatkan beberapa tokoh masyarakat dan pemimpin NGO, untuk mengambil tindakan proaktif dan segera bagi membantu perjuangan Palestin.

Kami telah bersetuju untuk menubuhkan sebuah “Sekretariat #Aid4Palestine” yang akan dipengerusikan oleh YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi dengan kerjasama lebih 40 buah NGO yang akan bersama menggerakkan misi ini.

Sekretariat ini akan berfungsi sebagai koordinator jaringan NGO dan masyarakat sivil  bagi menggerakkan kempen kesedaran rakyat Malaysia terhadap perjuangan Palestin, serta menyelaras kutipan dana #Aid4Palestine melalui kaedah crowdfunding dengan sasaran bantuan RM1 juta yang akan disalurkan terus ke bumi Palestin.

Setakat ini komitmen fasa pertama yang akan disalurkan menjelang 10 Syawal sudah mencecah RM350,000 hasil kutipan terkumpul NGO PASRelief, Yayasan Amal Malaysia, Muslim Care Malaysia Society dan Cakna Palestin Malaysia. Manakala kutipan fasa kedua minimum RM650,000 akan dibuka sehingga 30 Syawal.

Mudah-mudahan segala usaha yang dilakukan ini menjadi ganjaran dan pahala yang besar di sisi Allah sebagai tanda keimanan dan kasih sayang umat Islam kepada Palestin.

Intifadhah di bumi Palestin adalah lambang kesatuan dan kebangkitan umat Islam seluruhnya melangkaui batas sempadan negara dan perbezaan mazhab, demi membela keadilan dan hak rakyat Palestin.

Selamatkan Masjid al-Aqsa, bebaskan Palestin.

YB DATO’ SERI TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG
Duta Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah
1 Syawal 1442 / 13 Mei 2021 – HARAKAHDAILY 13/5/2021

- Advertisement -