Takut mati akibat vaksin VS akibat COVID-19

- Advertisement -

TERDAPAT sesetengah laporan dari pusat pemberian vaksin bahawa masyarakat tidak hadir untuk mendapatkan vaksin sekitar dalam 20 peratus hingga 30 peratus. Pelbagai kaedah digunakan oleh bilik gerakan untuk memanggil mereka supaya datang ke pusat pemberian vaksin sama ada melalui MySejahtera, SMS dan panggilan telefon. Awalnya bersetuju hadir tetapi apabila sampai tarikhnya tuan badan tidak pun muncul-muncul.

Punca ketidakhadiran itu mungkin terpengaruh dengan sebaran berita-berita negatif berkaitan dengan vaksin seperti kematian dan sebagainya. Sebaran berita tidak sahih inilah mempengaruhi pemikiran mereka untuk tidak mengambil vaksin. Sedangkan apa yang sahih adalah kes COVID-19 terus meningkat dalam negara kita dan kematian juga terus meningkat dalam negara kita dan seluruh dunia.

- Advertisement -

Sadisnya apabila kita dapati bahawa ramai pula yang bukan-Melayu memenuhi ruang-ruang menunggu untuk mendapatkan vaksin. Mereka sanggup menunggu walaupun dikategorikan sebagai senarai menunggu. Andai ada rezeki mereka akan dipanggil untuk dapatkan vaksin. Golongan bukan-Melayu itu mempunyai sarwajagat yang lebih baik dari kita yang terus dikelentong oleh pihak-pihak tertentu yang membawa berita-berita palsu.

Sistem MySejahtera dan pemberian tarikh untuk vaksin ini tidak mengenal bangsa sama ada Melayu, Cina atau India dan lain-lain. Mereka akan diberikan tarikh dengan sama rata. Apa yang berlaku adalah mereka datang lebih awal sebelum daripada tarikh itu sebab semata-mata ingin mendapatkan diri itu dilindungi melalui pemberian vaksin.

Nampaknya Melayu ketinggalan lagi dari sudut ini akibat daripada takut mati seperti mana yang disebarkan melalui media sosial. Sedangkan orang yang bukan-Melayu tidak pula takut mati seperti mana yang digembar-gemburkan itu. Mereka lebih takut mati akibat vaksin (itupun kes terpencil) dari takut mati akibat dijangkiti oleh COVID-19. Inilah gambaran yang berlaku di dalam negara kita.

Tulisan ini bukan untuk menanam bibit perkauman, tetapi ingin memberi kesedaran kepada kita bahawa diri kita tidak akan selamat jika kesemunya tidak selamat. Di dalam kita berdepan dalam satu medan perjuangan untuk berlawan dengan COVID-19 ini, semua kita harus memainkan peranan sepertimana yang dianjurkan oleh pihak berkuasa.

Kita patut sedar, bahawa COVID-19 ini menjadikan diri kita semua serba kegusaran. COVID-19 boleh meragut nyawa kita dan boleh membawa negara kita merudum dari sudut ekonomi, sosial dan kesihatan. Gagalnya program imunisasi COVID-19 Kebangsaan bukannya gagal kerajaan tetapi gagalnya kita bersama.

DR SUHAZELI ABDULLAH 
Pakar Perubatan Keluarga 
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 11/5/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -