EU gesa henti segera keganasan di Gaza, Baitulmaqdis

- Advertisement -

BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) mendesak pihak terlibat dalam konflik Palestin-Israel untuk segera menghentikan penularan keganasan di Semenanjung Gaza dan Baitulmaqdis Timur, dan turut mengatakan serangan roket terhadap penduduk awam Israel tidak boleh diterima, kata Perkhidmatan Tindakan Luar Eropah (EEAS) dalam satu kenyataan.

“Peningkatan ketara dalam keganasan di Tebing Barat yang diceroboh, termasuk di Baitulmaqdis Timur serta di Gaza dan sekitarnya perlu dihentikan segera,” kata EEAS.

- Advertisement -

“Bedilan roket dari Gaza terhadap penduduk awam di Israel sama sekali tidak dapat diterima dan menambah buruk keadaan,” lapor Sputnik memetik kenyataan itu.

EEAS menggesa semua pemimpin agar bertanggungjawab dalam bertindak menentang pelampau.

“Status quo tempat suci mesti dihormati sepenuhnya,” katanya.

“Kami mengulangi seruan kami agar semua pihak terlibat untuk meredakan keadaan. Kehilangan nyawa yang lebih banyak mesti dicegah dan menjadi keutamaan,” menurut kenyataan itu.

Laporan sebelumnya mengatakan lebih 500 penduduk Palestin cedera pada Isnin dalam pertempuran dengan polis Israel di Baitulmaqdis. Kematian di kalangan penduduk di Semenanjung Gaza setelah serangan Israel juga dilaporkan.

Pertempuran antara Palestin dan Israel berterusan sejak beberapa hari lepas. – BERNAMA

- Advertisement -